Monday, March 19, 2012

Pesona gadis kacukan, Anzalna Nasir


Bermula sebagai finalis Dewi Remaja 2010, bakat dan kelebihan yang dimiliki Anzalna Nasir, kini semakin mendapat perhatian pengarah dan penerbit tempatan. Rupa paras yang menawan merupakan kelebihan dimiliki pelakon berusia 24 tahun ini untuk terus mewarnai industri lakonan tanah air.

Akui masih mentah dalam bidang hiburan, Anzalna bersyukur kerana tidak menang tangan menerima tawaran lakonan. Terbaru, Anzalna baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri, Amukan Pocong yang bersiaran di slot Seram TV3, setiap Khamis, jam 9.30 malam. Menurut Anzalna, penglibatan dalam drama tersebut memberi pelbagai pengalaman baru buat dirinya.

“Dalam drama ini saya memegang watak sebagai gadis kampung bernama Sal yang akan mati di dahan pokok. Pada awalnya, saya sangka pokok yang perlu dipanjat tidaklah terlalu tinggi.

“Saya agak takut apabila diberitahu pengarah saya perlu memanjat pokok setinggi pokok durian dan perlu bergerak dari dahan ke dahan. Masa itu, saya tidak yakin, lagipun saya tidak ada sebarang insurans lagi,” ujarnya.

Biarpun dikuasai perasaan ragu-ragu, pelakon genit ini mengambil risiko meneruskan lakonannya kerana beranggapan pengalaman seperti ini berbaloi untuk profilnya sebagai seorang pelakon.

“Ini pengalaman yang berharga buat saya dan saya berterima kasih kepada pengarah yang memberi kepercayaan untuk melakonkan watak seperti itu. Sebagai seorang pelakon, saya perlu berani dan kuat kerana saya dibayar untuk lakonan ini. Saya mahu meneruskannya kerana mahu menjadi seorang pelakon yang versatil,” katanya.


Dalam perkembangan lain, gadis kelahiran Pulau Pinang ini bakal muncul dengan filem aksi Tyickoouns arahan Izan Hailmey Mokhtar, di samping aktor terkenal, Remy Ishak. Selain itu, filem termasuk Adam dan Hawa, Sepah The Movie dan Doktor K Kahwin 5 juga hanya menanti waktu tayangan.

Idam watak baik

Setiap pelakon pastinya mempunyai hasrat memegang watak yang diimpikan, begitu juga dengan pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur ini. Menurutnya, selain berani mengambil risiko melakonkan babak mencabar, Anzalna juga menyimpan hasrat mahu mencuba watak gadis Muslimah.

“Saya tertarik dengan watak dan karakter seperti itu kerana sebelum ini tidak pernah melakonkannya. Jika diberi peluang, saya mahu mencubanya dan saya pasti ia memberi satu kelainan buat lakonan saya nanti. Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak begitu memilih watak kerana masih baru dalam bidang ini dan mahu menimba pengalaman seberapa banyak untuk bergelar pelakon ternama,” katanya.

Seakan satu trend, ada segelintir pelakon yang mahu mengembangkan bakat mereka melalui bidang nyanyian, Anzalna berpendapat buat masa ini, dirinya masih mahu memberi tumpuan kepada bidang lakonan.

“Namun, sekiranya semua sudah stabil, tidak mustahil saya akan cuba ke bidang nyanyian pula," katanya.

Pentingkan lakonan

Bagi seseorang pelakon, pakej lengkap adalah kelebihan dan platform untuk terus menyerlah dalam industri lakonan tempatan. Menurutnya, bakat dan kualiti lakonan yang baik merupakan perkara terpenting yang perlu ada bagi seseorang pelakon untuk terus mencipta nama dan dikenali pelbagai pihak termasuklah peminat, pengarah dan penerbit tempatan.

"Bagi saya, bakat lakonan yang tersendiri penting bagi seorang pelakon. Jika ada rupa, itu adalah satu bonus buat individu itu untuk terus menyerlah dalam industri ini.

"Saya sendiri masih berada dalam proses belajar dalam bidang ini dan berharap pengalaman diperoleh dapat memantapkan lagi lakonan," katanya.

No comments:

Post a Comment