Monday, March 19, 2012

Farhan Teruja Berjumpa Olivia Newton John


KUALA LUMPUR: Bintang Akademi Fantasia musim keempat, Farhan AF4 atau Farhan Azizan akui amat teruja untuk beraksi di pentas yang sama dengan penyanyi pujaanya ,Olivia Newton John dalam Konsert Olivia Newton John Live In KL yang bakal berlangsung di Genting Arena of Stars, Genting Highlands pada 29 Mac ini.

Meskipun hanya akan beraksi keseorangan untuk persembahan pembukaan penyanyi pop dari Australia itu, namun Farhan AF4 berkata, dia berasa amat bertuah kerana buat pertama kalinya akan berjumpa dengan penyanyi idolanya.

"Sudah tentu saya amat teruja sekali kerana saya telah membesar dengan lagu-lagunya sejak kecil.

"Saya bukan sahaja minat akan lagu-lagunya malah personaliti serta lakonannya dalam filem Grease sudah menjadi kegemaran buat saya seluruh keluarga saya.

"Jadi rasa bagai tidak percaya apabila saya ditawarkan untuk menjadi penyanyi persembahan pembukaan untuknya sebab sebelum ini saya banyak diundang untuk persembahan artis dari China kerana saya boleh menyanyi lagu bahasa Cina.

"Keluarga saya juga amat teruja kerana mereka orang yang paling minat kepada Newton John sejak dulu lagi. Disebabkan itu, juga saya sudah dipengaruhi oleh muzik pop Newton John," katanya yang dihubungi murai.com.my.

Konsert Olivia Newton John Live In KL yang dianjurkan oleh Offshore Entertainment Production Sdn. Bhd itu, akan berlangsung lebih kurang tiga bermula dari jam 8 malam hingga 11.30 malam.

Bakal mempersembahkan empat buah lagu kesemuanya, Farhan AF4 memberitahu dia agak gementar untuk beraksi di persembahan pembukaan konsert tersebut.

"Dalam keterujaan itu, saya akui agak gementar juga untuk membuat persembahan ini kerana dalam masa yang sama saya pasti akan mengambil peluang untuk berjumpa dengan Newton John sendiri.

"Namun saya cuba untuk melakukan yang terbaik pada malam tersebut untuk menyampaikan lagu-lagu nyanyian Whitney Houston, Natalie Cole dan Gary Moore kelak.

"Walaubagaimanapun, saya akan mengambil peluang berjumpa dengannya untuk berkongsi cerita mengenai bidang muzik masing-masing kerana ia bakal menjadi kenangan terindah buat diri saya," luahnya lagi.

Tiket konsert akan dijual dari harga RM168 hingga RM480. Bagi pemegang kad Genting WorldCard, pihak Resort World Genting akan memberi potongan harga sebanyak 30 peratus bagi setiap pembelian tiket konsert.

No comments:

Post a Comment