HADIAH ulang tahun ke-33 penyanyi tanahair Datuk Siti Nurhaliza penuh bermakna buat dirinya. Menerima dua hadiah istimewa daripada suami tersayang Datuk Khalid Muhammad Jiwa antaranya percutian di luar negara menjadi kenangan terindah buat penyanyi numero uno negara ini.
Berkongsi cerita mengenai percutiannya bersama suami ke tiga buah negara baru-baru ini iaitu Maghribi, Marakesh dan Dubai, si pelantun Biarlah Rahsia ini memberitahu percutian tersebut adalah hadiah hari jadi dari suami tercinta.
“Sebelum ini kami pernah merancang untuk ke sana untuk berbulan madu tapi akhirnya kami memilih untuk ke Pulau Hawaii. Memang seronok sangat dapat ke negara-negara berkenaan kerana saya belum pernah berkunjung ke sana sebelum ini. Paling seronok ketika di Marakesh kerana seni bina dan hiasan dalaman bangunannya cukup menarik,”katanya.
Ditanya apakah hadiah sampingan selain percutian yang diberikan Khalid, Siti enggan mendedahkan perkara itu. Mengenai kehadiran cahaya mata, Siti berkata dia dan suami masih berusaha ke arah itu dan tidak pernah putus asa walaupun sudah enam tahun mereka mendirikan rumah tangga.
“Dalam hal ini, tuhan mempunyai perancangannya tersendiri dan saya masih berpegang teguh kepada perkara itu. Insya-Allah jika ada rezeki saya, Tuhan pasti akan berikan,” kata penyanyi berdagu lekuk ini optimis. – Gempak!
No comments:
Post a Comment