Thursday, March 8, 2012

Konsert 4 Lagenda Mei Ini

Zainal Abidin bersama tiga lagi penyanyi hebat tanah air iaitu Datuk Sheila Majid, Amy Search dan Jamal Abdillah pada pelancaran konsert The Legendary Concert, di sini, petang Rabu.
KUALA LUMPUR, 8 MAC 2012: Peminat muzik tempatan bakal digegarkan dengan konsert The Legendary Concert 2012 -Dulu, Kini dan Selamanya, yang akan menggabungkan empat nama besar iaitu Jamal Abdillah, Zainal Abidin, Amy Search dan Datuk Shiela Majid bermula 5 Mei depan.

Idea istimewa tersebut dicetuskan oleh penyanyi Zainal Abidin sendiri selaku penganjur konsert mewakili iaitu Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn Bhd, optimis gandingan mantap tersebut mampu menarik peminat muzik tempatan bersatu untuk berhibur.

"Dua tahun saya simpan idea tersebut kerana bukannya senang untuk menyatukan empat penyanyi di pentas. Masing-masing ada jadual tersendiri dan memang saya akui sangat sukar pada mulanya untuk saya aturkan segalanya.

"Namun berkat kesabaran, akhirnya impian saya untuk menggabungkan kami berempat di pentas terlaksana," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media The Legendary Concert 2012, semalam di Hard Rock, KL.

Jelas Zainal Abidin, konsert tersebut menjadi medan untuk peminat penyanyi yang terlibat, untuk turut sama mengenali dan mendekati muzik dan lagu penyanyi lain.

"Peminat saya akan datang, peminat Shiela, Jamal dan Amy juga akan berada di satu lokasi untuk berhibur. Secara tidak langsung mereka, berpeluang mengenali dan mendekati penyanyi lain.

"Saya yakin apabila mereka berpeluang untuk melihat persembahan kami berempat, kesemua mereka akan jatuh cinta kepada kami," jelasnya lagi.

Konsert Legenda membabitkan lima lokasi iaitu bermula di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 5 Mei, diikuti Stadium Likas, Kota Kinabalu (19 Mei), Stadium Kuching, Kuching (26 Mei), Pulau Pinang (23 Jun) dan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (30 Jun).

Sementara itu kata, Shiela Majid pula, konsert tersebut pastinya akan mengembalikan nostalgia keempat-empat penyanyi yang terlibat. Malah peminat yang hadir pastinya tidak akan kecewa kerana bakal dihiburkan dengan lagu-lagu yang menjadi kegemaran mereka.

"Peminat yang datang tidak akan menyesal kerana kami berempat berjanji akan menghiburkan mereka dengan lagu-lagu popular kami. Malah kami berempat akan bergabung dan mendendangkan sebuah lagu yang masih lagi dalam perbincangan khas untuk peminat yang hadir," katanya.

Ditanya tidakkah akan wujud situasi persembahan antara mereka diperbandingkan atau ada yang akan melebihi sesiapa, dengan pantas Shiela Majid, berkata tidak sama sekali.

"Kami berempat masing-masing menyanyikan lagu bergenre berbeza. Jadi tidak akan wujud situasi siapa yang akan lebih menonjol atau melebihi sesiapa. Masing-masing ada kekuatan sendiri dan saya yakin semua yang hadir akan berpuas hati dengan persembahan kami berempat," ucapnya.

No comments:

Post a Comment