Thursday, February 2, 2012

Shahz Jaszle: I bukan playboy & masih harap cinta Miera Liyana


ANDAI kekasihnya datang mengharapkan suasana kembali jernih, dia tidak teragak-agak untuk menerima kembali kerana rasa cinta dan sayang itu masih kuat.

Apatah lagi, Shahz Jaszle, 23, yang kini mahu dikenali sebagai Shahrizal dibelenggu tanda tanya kenapa secara tiba-tiba kekasihnya, Miera Liyana, berubah hati.

“Satu masalah saya sejak dulu lagi, saya seorang yang pemaaf dan sanggup buat apa saja untuk kekasih yang dicintai. Terus terang, saya memang ada niat untuk ‘settle down’ dan bersedia menjalin hubungan serius menerusi perkahwinan bersama Miera. 

“Kehidupan saya, selepas habis kerja, balik rumah berehat. Jika ada kelapangan hujung minggu, saya akan menghabiskan masa bersama Miera, jadi saya fikir lebih baik saya mempunyai keluarga dan dia adalah wanita pertama saya terfikir untuk sehidup semati bersama.


“Miera juga sudah dibawa bertemu ibu bapa saya kerana saya benar-benar ikhlas dengannya. Malah sepanjang kami bercinta, Miera banyak berubah untuk saya.

“Dia tinggalkan kehidupan sosialnya dan itu jugalah salah satu sebab yang membuatkan saya pasti dia adalah wanita sesuai untuk saya jadikan isteri,” katanya sewaktu ditemui pada Malam Gala filem Azura di GSC One Utama, Isnin lalu. 

Berita keretakan hubungan Shahrizal dan Miera heboh diperkatakan apabila teman wanitanya itu membuat pendedahan bahawa hubungan mereka sudah berakhir kerana pelakon kacak itu berlaku curang! 

Sebelum Miera mengeluarkan kenyataan demikian, berlaku pertengkaran di antara mereka melalui telefon bimbit dan ketika itu Shahrizal berada di Australia untuk menjalani penggambaran drama Atas Nama Cinta. 

“Kami bertengkar melalui fon sewaktu saya di Australia. Miera menyerang saya dan menuduh saya yang bukan-bukan. Saya fikirkan pertengkaran itu berakhir setakat itu saja. 

“Selepas tamat penggambaran di Australia beberapa hari lalu, tiba-tiba kecoh hal kami diperkatakan di media. Paling saya kesalkan, Miera boleh memberi kenyataan kepada pihak media sedangkan saya dan dia belum lagi putus. 

“Tiada sebarang keputusan rasmi dibuat antara kami, malah saya berharap untuk bertemunya menyelesaikan hal ini secepat mungkin. 

“Saya perlu mendengar daripada mulutnya sendiri sama ada dia masih mahukan saya ataupun tidak. Jika dia mahukan perpisahan, saya reda,” katanya. 

Masih tertanya-tanya apakah salah dirinya, pelakon itu memaklumkan konflik dengan kekasihnya meletus disebabkan fitnah yang disebarkan bekas pembantu peribadi mendakwa Shahrizal seorang kaki perempuan. 

Katanya lagi, hal itu sudah pun diperjelaskan kepada Miera, namun keadaan semakin hari semakin keruh mungkin disebabkan hasutan orang sekeliling yang menyebabkan hubungan mereka semakin parah. 

Berhubung ketidakhadiran Miera pada majlis Malam Gala filem Azura, Shahrizal juga sudah menjangkakan hal itu. 

“Sebelum ke mari, saya ada menghantar SMS kepadanya, bertanyakan sama ada dia datang atau tidak tetapi dia tidak membalas pertanyaan saya itu sampai sekarang,” katanya yang bakal muncul dengan filem pertama lakonannya, Azura yang turut dibintangi Neelofa, Afdlin Shauki, Chomel Fana, Afidah Es dan ramai lagi pada 2 Februari ini.

Perbualan malam itu tidak hanya menjurus soal kisah cinta tetapi, juga keputusannya untuk mengguna pakai nama Shahrizal bukan lagi Shahz Jaszle yang begitu sinonim dengannya sejak lima tahun lalu, malah boleh dianggap sebagai nama yang membawa tuah. 

“Seorang daripada bapa saudara saya memaklumkan kenapa hidup saya tidak henti-henti dilanda masalah, salah satu sebabnya kerana nama Shahz Jaszle itu sendiri. 

“Lagipun, memang keluarga sarankan menggunakan nama sebenar lebih baik. Kalau ikutkan perkataan Jaszle memang ada dalam surat beranak saja tapi lebih baik guna Shahrizal saya. 

“Sejak bertukar nama maklum balas yang diberikan peminat sangat baik, tetapi saya sendiri tidak merasakan perubahan yang begitu besar kerana sebelum ini pun orang memanggil saya dengan pelbagai gelaran. Ada yang panggil Shah, Shaz dan Jaszle. 

“Tidak kisahlah, yang pasti saya mengharapkan 2012 memberi sinar untuk saya terus berjaya dalam lakonan dan rezeki bertambah baik. Saya percaya semua ini dicapai bukan kerana terpaksa menukar nama tetapi perlu ada usaha serta keinginan untuk berjaya,” katanya.

1 comment: