Thursday, February 2, 2012

PETRONAS tambah terminal RGT berbilion ringgit di Johor


Kemudahan dilengkapi teknologi paling moden industri minyak dan gas 

MALAYSIA akan mengukuhkan lagi kedudukan sebagai antara dua pengeksport utama gas asli cecair (LNG) dunia selepas Qatar, apabila PETRONAS memutuskan untuk membina sebuah lagi terminal penggasan semula (RGT) di Pengerang, Johor, membabitkan kos berbilion ringgit.

Sumber industri berkata, RGT baru itu yang akan dilengkapi kemudahan teknologi paling moden dalam industri minyak dan gas, akan mempunyai kapasiti lebih besar berbanding RGT berharga RM2 bilion yang sedang dibina di Sungai Udang, Melaka.

Pembinaan RGT di Johor itu, katanya, adalah sebagai pelengkap kepada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) bernilai RM60 bilion di selatan tanah air itu. 

“Selepas kemudahan RGT di Sungai Udang, Melaka yang kini hampir siap pembinaannya, PETRONAS akan membina sebuah lagi RGT di Pengerang, Johor untuk menjadikannya sebagai antara tulang belakang penting pembangunan RAPID. 

“Apabila siap ia akan meningkatkan lagi bekalan gas bagi menampung permintaan semasa serta akan datang di Semenanjung Malaysia selain untuk pasaran eksport,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur. 

Penggasan semula adalah proses penyejatan untuk menukar gas asli cecair (LNG) kembali ke dalam bentuk gas yang membolehkan ia diangkut ke terminal pengedaran untuk kegunaan pasaran tempatan dan dieksport. 
Sumber industri itu berkata, PETRONAS akan mengumumkan butiran lengkap mengenai pembinaan RGT di Johor itu dan syarikat yang akan dilantik sebagai kontraktor utama pembinaannya dalam tempoh terdekat ini. 

“Buat masa ini perincian RGT di Johor masih belum dimuktamadkan, namun apa yang pasti ia akan memiliki kapasiti pengeluaran lebih besar daripada RGT di Melaka,” katanya sambil menambah RGT Melaka apabila siap Julai ini akan memiliki kapasiti pengeluaran 3.8 juta tan setahun. 

Katanya, keputusan membina RGT di Johor itu dibuat bagi merealisasikan matlamat negara menjadikan RAPID sebagai antara hab petroleum utama di dunia, yang memiliki semua kemudahan pemprosesan dalam rantaian industri berkenaan. 

“PETRONAS ingin mendengar apabila orang menyebut RAPID, semua perkara atau setiap kemudahan yang ada dalam industri minyak dan gas ada di sana kerana matlamatnya ialah menjadikan RAPID pusat sehenti yang menyeluruh dalam sektor minyak dan gas dunia,” katanya. 

RAPID yang akan dimajukan di tapak seluas kira-kira 1,000 hektar dan dijadualkan beroperasi pada akhir 2016 akan merangkumi sebuah kemudahan penapis minyak mentah, pencair naphta dan masing-masing sebuah kompleks polimer dan petrokimia. 

Kemudahan penapis minyak mentah yang bakal dibina di RAPID itu akan mempunyai kapasiti pemprosesan sehingga 300,000 tong sehari bagi produk petroleum seperti minyak petrol, diesel, bahan bakar jet dan bahan bakar kenderaan. 

Ia juga akan mempunyai kemudahan pencair naphta dengan kapasiti tiga juta tan setahun dan kompleks derivatif petrokimia yang menumpu kepada penghasilan getah sintetik. 

No comments:

Post a Comment