Thursday, February 9, 2012

Nik Aziz: Kenyataan Puad Zarkashi sesat


SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Dr. Mohd. Puad Zarkashi kelmarin sebagai "sesuatu yang jelas tersesat" dan Ahli Majlis Tertinggi Umno itu tiada hak untuk memberi nasihat agar beliau ditarbiyah semula.

Justeru, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau juga kesal dengan pemikiran sekular Timbalan Menteri Pelajaran itu yang mengeluarkan kenyataan sedemikian berhubung pandangan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh isu Israel-Palestin dalam temu bual dengan Wall Street Journal (WSJ).

"Merujuk kepada komen Puad Zakarshi yang mencadangkan agar saya ditarbiyah semula atas sebab enggan memberi komen terhadap (Ketua Umum Pakatan Rakyat) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas isu negara Israel. Ia sesuatu yang jelas tersesat.

"Saya amat kesal atas pemikiran sekular seorang timbalan menteri juga bekas seorang guru Yayasan Anda di bawah bumbung (Angkatan Belia Islam Malaysia) ABIM yang dikatakan pernah menyokong kepimpinan Anwar kelihatan begitu dungu dalam menilai mana satu yang benar dan mana pula yang salah," kata beliau dalam kenyataan disiarkan oleh Harakahdaily, hari ini.

Laporan media memetik Mohd Puad berkata, Nik Abdul Aziz sewajarnya kembali ke pangkal jalan dan berhenti daripada bersikap hipokrit semata-mata untuk menjaga kepentingan politiknya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Mohd. Puad menambah, keengganan Nik Abdul Aziz menyatakan pendirian berhubung sokongan Anwar terhadap keselamatan sebuah negara Israel baru-baru ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang tidak berpendirian.

"Dia sepatutnya berkata sesuatu yang lebih tegas bukannya berdiam diri atau sekadar meminta penjelasan Anwar yang sebenarnya hanya satu helah.

"Nik Abdul Aziz sudah banyak menyeleweng, maka perlu ulama dalam Pas sendiri membawa beliau kembali ke pangkal jalan," katanya.

Laporan media itu mendakwa sikap 'pak turut' Nik Abdul Aziz yang dilihat mempertahankan kenyataan Anwar menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel di dalam wawancara dengan The Wall Street Journal (WSJ) akhir bulan lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Abdul Aziz menambah, Mohd. Puad, sebagai seorang yang pernah mengagumi Anwar dan pernah duduk sebumbung Yayasan Anda dan Markas ABIM, sepatutnya sudah tahu permainan kotor media tajaan Barat.

"Begitu juga akhbar Barat dan pro-Barat juga yang acapkali mengulang-ulang kes liwat (menuduh Anwar) atas sebab untuk memalukan hamba Allah ini," katanya lagi.

Nik Aziz juga menyoal apakah hak Mohd. Puad mencadangkan beliau ditarbiyah semula memandangkan beliau sendiri sudah dilihat gagal memahami prinsip tarbiyah.

"Kalau benar dia memahami tarbiyah, masakan boleh membuat respons atas fakta yang diputar oleh WSJ, hantu media Barat yang sentiasa bertindak untuk memecah belah umat Islam. Logikkah saya mengulas atas fakta yang belum pasti benar kerana ia bukan dari sumber pertama," kata beliau sambil menambah bahawa pemimpin Umno itu sendiri patut berjumpa dengan Anwar jika benar ingin mencari pencerahan.

"(Ini) kerana Anwar pernah jadi ketuanya," katanya lagi.

Nik Aziz juga menambah, justeru adalah sesuai kalau Mohd. Puad ingin mencari kebenaran, beliau sepatutnya "pergi beribadat di masjid."

"Tapi bagi seorang yang mendokong ideologi kebangsaan sekular, sudah tentu tidak sesuai mencari kebenaran di masjid.

"Saya cadangkan lebih baik mencari kebenaran di bilik tandas. Kerana dalam tandas sudah tentu sesuai banyak syaitan dan iblis yang boleh merangsang fikirannya, menjadi waras selari dengan otak sekular. Maka, tak payahlah asak dan menyibuk untuk mentarbiyah semula orang lain. Kerana asas tarbiyah itu hendaklah dipaksikan dengan keredahaan Allah," kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment