KUALA LUMPUR, 23 FEBRUARI 2012: Berlangsung dalam suasana penuh sederhana dan dihadiri keluarga dan teman rapat kini Misha Omar 30, atau namanya Samihah@Aisah Omar sudah bergelar tunangan orang bertempat di kediaman orang tua Misha di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan.
Dia yang baru sahaja habis berlakon bagi telemovie untuk tayangan Aidilfitri nanti, ternyata masih sibuk namun tetapi kerana mahu menjawab segala spekulasi maka keputusan untuk bertunang diambil penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta itu.
Menurut Misha, pertunangan yang sememangnya menjadi salah satu agenda utama Misha bagi tahun 2012 namun dia tidak menetapkan tarikh tertentu namun sudah ketentuan daripadaNya maka berlangsunglah pada 21 Februari lalu.
"Saya rasa, tarikh itu seperti refleksi kepada hubungan cinta kami kerana jika dapat dilihat tarikh tersebut adalah 21.02.2012. Refleksi kepada 2012 itu sendiri. Mungkin ia sekadar simbolik tetapi semua yang berlaku bagaikan mendapat restu jadi ia berlalu dengan lancar dan mudah.
"Perancangan sudah dibuat sejak tahun lepas dan hanya sebulan yang lalu sahaja saya mengambil keputusan untuk bertunang," ujarnya yang kedengaran gembira setelah melangkah ke fasa baru dalam hidupnya itu.
Misha juga berkongsi kronologi kisah cinta mereka yang penuh dengan drama, malah dia merasakan segalanya tidak dirancang dan berada di luar kawalannya.
"Kami mula berkenalan pada 2007 dan dipertemukan oleh kawan. Selepas mengenali Firos saya merasakan dia seorang lelaki yang baik dan ketika itu kami mula bercinta.
"Ketika itu dia masih menuntut di sekolah penerbangan di Kota Bharu.
"Tetapi sekitar 2009 hubungan cinta kami putus. Tetapi kami masih berteman dan Firos berkata pada saya walaupun kami tiada sebarang hubungan tetapi dia masih mahu berjumpa dengan anak saya Muhammad Adam Emir kerana dia tak dapat nak berenggang dengan anak saya," ujarnya tentang perhubungan awal mereka yang terputus di tengah jalan.
Misha yang ketika itu masih berkawan dan menyatakan bahawa Firos ternyata begitu mesra dengan Muhammad Adam Emir, hingga jika dia bercuti bersama keluarga dia meminta Misha untuk membawa anaknya itu.
Lebih istimewa lagi apabila anaknya itu memanggil Firos dengan panggilan Abah.
"Selepas itu, saya dan dia membawa haluan masing-masing. Saya cuba mencari cinta baru begitu juga Firos dan kami masih berhubung sebab kami berpisah juga dengan cara yang baik.
"Ketika itu juga saya sudah bahagia dengan orang lain dan dia juga menyatakan bahawa dia gembira untuk saya.
"Saya hampir mengakhiri zaman solo saya tetapi rupanya sekali lagi saya diuji dan hubungan cinta baru itu pun berakhir begitu sahaja.
"Ketika itu saya patah hati dan sebagai kawan, Firos telah datang untuk cuba membantu saya ketika itu.
"Ketika itu saya masih beremosi dan untuk mengelakan keputusan diambil tanpa berfikir saya cuma berdiam diri.
"Pada waktu itu hati saya juga kuat berkata mungkin ini adalah jodoh saya," cerita Misha panjang lebar mengenai kisah cinta mereka.
Misha mengambil keputusan untuk memberitahu orang tuanya dan mereka sudah merancang untuk mengikat tali pertunangan.
Bagi Misha dalam masa menjadi tunangan kepada Firos, ini adalah peluang baginya untuk mendekati bakal suaminya itu juga keluarganya.
Ketika dihubungi Misha masih berada di Kelantan.
Dia yang kelihatan begitu cantik dengan baju kurung pesak gantung rona biru rekaan pereka kegemaran yang juga rakan baiknya Syaiful Baharim.
No comments:
Post a Comment