Tuesday, February 28, 2012

Lisa Surihani-Yusry Sempurna Di Resepsi Nan Indah (12 GAMBAR)

KUALA LUMPUR 27 FEBRUARI 2012: Memang benar seperti yang dinyatakan ibu kepada aktres jelita, Lisa Surihani bahawa resepsi anaknya itu disifatkannya cukup ringkas.

Ternyata lebih 1,500 tetamu yang memenuhi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tersenyum puas melihat senyum simpul dua sejoli, Lisa Surihani dan Yusry Abdul meraikan saat bahagia bergelar raja sehari di atas pelaminan indah, di sini malam tadi.

Majlis resepsi yang telah berlangsung secara sederhana tetapi tetap sempurna itu, telah disiarkan secara langsung di Astro Ria (saluran 104) dengan bersaksikan keluarga kedua belah mempelai, sahabat handai, rakan artis serta pihak media.

Lisa Surihani berjalan masuk ke dalam ruang dewan sekitar jam 9 malam semalam, dalam sarungan gaun putih mewah meleret ala French Vintage inspirasi daripada Marie Antoinette rekaan pereka ternama Putra Aziz daripada Cosry.

Tampak berseri dengan solekan gaya minimalis yang masih mengekalkan kecantikan asli, hasil sentuhan Khir Khalid yang turut melempiaskan kepakarannya pada majlis akad nikah mereka berdua pada 23 Februari lalu.

Paluan kompang mengiringi ketibaan pengantin lelaki dan ahli keluarganya yang tampak segak berbaju rona sedondon melangkah masuk ke dalam dewan indah itu ditemani ahli keluarga yang rata-rata dilihat berbaju hijau.

Tidak melupakan adat tradisi Melayu, acara berbalas pantun dimulakan dengan diwakili ahli keluarga kedua belah mempelai sebagai simbolik sebelum mereka duduk seiringan.

Bagi memberkati majlis lagi, selawat Nabi diperdengarkan kepada hadirin oleh kumpulan Rabbani, diikuti bacaan doa yang diketuai oleh salah seorang ahli kumpulan nasyid tersebut.

Saat manis diteruskan dengan acara menepung tawar oleh ibu bapa dan keluarga terdekat kedua pengantin sebelum pasangan pengantin dijemput ke meja makan beradab oleh pengacara pada malam itu iaitu Faizal Ismail dan Vanida Imran.

Enak dengan pilihan lauk-pauk tradisi Melayu seperti Dalca Sayuran, Ayam Percik, Daging Dendeng, Ikan Berempah, Paceri Berempah, Acar Rampai dan Rojak Salah dimakan bersama Nasi Briyani yang disediakan Kuzie Catering.


Dibalas pula dengan keenakan pencuci mulut yang terdiri daripada Jelly Ice Cocktail, Puteri Dua Sebilik dan buah-buahan bersama air Pink Lychee.

Mempelai dan tetamu dihiburkan dengan nyanyian daripada para artis naungan KRU seperti Fourteen dan Jaclyn Victor. Turut sama dilihat membuat persembahan adalah Aizat Amdan.

Selesai menjamu selera, pasangan pengantin sekali lagi menuju semula ke peterana untuk majlis memotong pulut kuning.

Selepas itu keduanya memberikan ucapan penghargaan kepada semua hadirin yang hadir dimulakan oleh Yusry dan diikuti Lisa.

Sementara itu ibu kepada pengantin perempuan iaitu Hajjah Siti Amira ternyata bersyukur dan gembira setelah berlangsungnya hari bahagia anak gadis tunggalnya itu.

Majlis yang bersejarah buat kedua pihak ini berakhir sekitar jam 11 malam dan khabarnya Lisa dan Yusry akan berlepas ke Switzerland selama dua minggu untuk berbulan madu. Tahniah diucapkan kepada kedua mereka.










No comments:

Post a Comment