Thursday, January 5, 2012

Suka Duka Tiga Dekad Search Kini Berbaloi (VIDEO | 3 GAMBAR)


AMY dan Search memberi persembahan final yang cukup hebat. Seleksi lagu, pencahayaan pentas dan sistem bunyi yang agak baik banyak membantu kepada kejayaan konsert pada malam itu.


"KAMI tidak pernah bermimpi untuk menjadi sebesar ini. Ini adalah satu perjalanan yang hebat," begitu ringkas vokalis Search, Amy, mendefinisi kembara band buatan Malaysia yang begitu fenomena ini saat ditemui di selang-seli kesibukan menjalani jelajah Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang berakhir pada 31 Disember lalu di Kuching, Sarawak.

Tiga dekad Search juga menyaksikan banyak warna yang diconteng atas kanvas kerjaya mereka. Digam, dicemuh dan dijulang, semua telah mereka rasa. Keluar masuk anggota Search juga menjadi salah satu pengisi fasa perjalanan mereka yang akhirnya masih terus ditunjangi wajah yang sama - Amy, Kid, Din, Nasir dan Yazid. Lima kepala berlainan cita rasa, namun saat bersama, semua akur bahawa muzik Search harus jadi sehala hanya untuk mengisi dahaga pencinta mereka.

Definisi itu diperkuat pula dengan kenyataan pemain bass Search, Nasir. Ujar Nasir, menoleh kembali kembara mereka seawal 30 tahun lalu, tidak ada sesiapa yang mahu memberi ruang kepada mereka mempamer kredibiliti sebenar. "Malah saat kami dibawa masuk ke Polygram, salah seorang daripada orang kuat syarikat itu memanggil kami dengan panggilan monyet.

"Mereka tidak yakin kami mampu pergi jauh. Satu-satunya individu yang tetap mempertahankan kami adalah Datuk M. Nasir. Mungkin kerana dia dan kerana semangat muzik kami yang bukan main-main serta penerimaan peminat yang tak pernah jemu menyokong membuat Search kekal sehingga tiga dekad. Ah, ia satu perjalanan yang cukup panjang. Terlalu panjang," ujar Nasir dengan suara mendatar yang terdengar begitu sentimental saat mengumpul semula pecahan memori tentang kelana band kesayangan ramai ini.

Cukup beremosi kata-kata yang dilontar anggota Search ini apabila diajak berbicara tentang kembara 30 tahun mereka. Masakan tidak beremosi, ranjau yang mereka rentas, lebih banyak berbanding manis yang mengisi hari-hari mereka. Namun semuanya berbaloi kerana Search kini masih menjadi band tanpa galang ganti biar semua anggotanya sudah semakin tua - mengikut resmi dunia.

Jika ada yang berasa mereka sudah hilang taring untuk beraksi di pentas dan menghibur peminat kerana faktor usia, persepsi itu harus dibuang jauh. Ya, benar, tidak boleh diingkari bahawa permainan mereka di pentas barangkali tidak segagah dahulu, namun kematangan dan pengalaman selama 30 tahun bergelumang sebagai sebuah band telah membuat persembahan mereka sentiasa dinanti dan hidup untuk 30 tahun mendatang.
AMY mendokong anak bongsunya, Qaqa At-Tameemi, dua tahun tiga bulan sambil memberi bola kepada penonton sebaik konsert berakhir.
Hal itu dibuktikan mereka pada konsert penutup tahun 2011 dan pembuka tahun 2012 yang meyakinkan bahawa Search masih relevan di pasaran. Secara kasar, untuk Search yang sudah 15 tahun tidak mengisi dahaga pencinta mereka di Sarawak dan peminat yang 15 tahun tidak menatap secara dekat Search, ia adalah satu penantian yang cukup berbaloi. Baik Search mahupun peminat mereka, kedua-duanya telah melengkapkan keinginan antara satu sama lain.

Malam 31 Disember 2011 itu, di Stadium Negeri Kuching, Sarawak, Search 'berpesta' dengan peminat-peminat mereka sebagai persinggahan terakhir Fenomena Search 30 Tahun Jelajah Borneo yang dibawa khas oleh penganjur bersama, Universal Credential dan Nova Music (M) Sdn. Bhd. Mereka nampak cukup energetik dan hampir tidak kelihatan lelah menghibur peminat.

Di bahagian belakang pentas, di sebalik tong drum, kelihatan Yazid padu mengetuk alat muzik itu tanpa tergelincir ritmanya. Sekali pandang, banyak yang terlupa bahawa Yazid sedang menjalani dialisis buah pinggang. Semangat luar biasanya telah menyingkir rasa sakit yang menular di segenap tubuhnya.

Pada posisi bass, Nasir yang terlihat serius namun cukup lemah-lembut memetik bass dengan penuh gaya. Dalam senyuman, petikan bassnya tersusun cantik melengkap melodi. Kid yang terkenal pada posisi pemain gitar utama memang selalu terlihat 'liar' di atas pentas. Baik dari segi imej mahupun permainannya, Kid mengekspresi kedua-duanya dengan begitu baik sekali. Bagi abangnya, Din yang menjadi tonggak gitar kedua jarang-jarang memperlihatkan ekspresi dirinya. Terkadang sukar menelah emosinya, namun pada malam itu, dia tidak hanya duduk diam di satu sudut, sebaliknya melahirkan ekspresi dengan melompat dan mempamer skil bermain gitar yang bukan hingusan.

Dan selaku vokalis, Amy tidak memerlukan pesona yang lebih tinggi selain daripada imej, sikap dan vokalnya itu sendiri. Maka hiduplah konsert selama lebih sejam itu dengan jayanya.

PERMATA Search. Dari kiri, Alexender Zulkarnain (anak Amy), Syafika Nurlis (anak Yazid), Isabella Ratna Dewi (anak Nasir), Deanda (anak Kid) dan depan, Sania Samara (anak Amy) bersama Kid dan anak lelaki Kid, Aaqil.
Lebih 15,000 penonton tidak ketinggalan berdendang dengan Search, mengalunkan untaian lagu hit mereka yang tidak sedikit kuantitinya. Dari Langit Dan Bumi, Pelesit Kota, Balada Pemuzik Jalanan, Isi Atau Kulit, Rozana, Gadis Misteri, Gothic Malam Edan, Isabella serta Fantasia Bulan Madu yang menjadi penutup tirai konsert, semuanya didendang tanpa gagal bersama-sama oleh peminat band ini.

Kuching kemudian menjadi saksi betapa 30 tahun adalah kembara yang benar-benar bermakna buat mereka dari sudut peribadi apabila pada penghujung konsert, Search membawa anak-anak mereka ke atas pentas untuk meraikan penutup 2011 dan kedatangan 2012 dengan lebih bermakna.

"Jangka masa 15 tahun tidak membuat sebarang persembahan di Sarawak memberi impak yang cukup positif dan baik buat kami. Tidak mustahil kami akan kembali membuat persembahan di sini," ujar Amy penuh teruja.

Tambahnya juga, siri jelajah konsert itu juga adalah momen terbaik sepanjang tahun lalu dan 30 tahun karier mereka.

"Dan kedatangan 2012 adalah tahun baru yang baik untuk menyaksikan Search bakal muncul dengan material terkini serta beberapa projek besar yang lain," katanya yang masih konsisten dalam setiap persembahan walau usia sudah menjangkau 53 tahun.

No comments:

Post a Comment