Wednesday, January 4, 2012

Sepahtu rindu Mamat namun akur kehendak kerjaya



SEPAHTU selesa bergerak berdua walaupun seringkali dijemput membuat persembahan secara solo.

MULA melangkah melalui rancangan Raja Lawak, kini kumpulan Sepahtu masih teguh berdiri walaupun salah seorang daripada ahli kumpulan mereka ketika bergelar Sepah dulu sudah mengundur diri.

Kesempatan kakileaks bertemu dengan mereka baru-baru ini, berjaya menyelami perasaan lelaki ini setelah tinggal hanya berdua melayari dunia seni.

Menurut Jeff, mereka sememangnya sangat merindui kehadiran Mamat yang membuat keputusan mengundur diri daripada meneruskan perjuangan beberapa bulan lalu.

“Kami sebenarnya memang rindu sangat kepada Mamat. Tapi buat masa sekarang, kami juga perlu akur bahawa kami sudah mempunyai kehidupan berbeza.

“Apa yang penting, kami masih berkawan seperti biasa dan tidak timbul sebarang masalah di antara kami. Dia dengan cara dia untuk meneruskan kerjaya seni dan Sepahtu dengan cara kami yang tersendiri,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Shuib, meskipun bergerak secara duo, Sepahtu juga sebenarnya tidak selalu berjumpa. Mereka hanya bertemu kala ada undangan pentas, selebihnya tidak selalu bersama.

“Kami juga ada menerima tawaran persembahan secara individu, jadi jarang-jarang juga berjumpa selain jika diundang bersama.

“Apa yang lebih penting, semua yang dilakukan berjalan lancar demi menghadapi tahun baru dengan penuh cemerlang,” katanya.

Menelaah cara penerimaan mereka terhadap kemunculan semula pelawak-pelawak senior melalui rancangan Maharaja Lawak Mega yang dilihat mendominasi industri hiburan ketika ini, menurut Sepahtu ia bukan sesuatu yang perlu dirisaukan.

Malah, bagi Shuib juga, mereka gembira kerana dunia humor dan lawak jenaka semakin kukuh nilainya di mata masyarakat. Keadaan ini akan menjamin masa depan artis-artis lawak itu sendiri.

“Kami tidak pernah berasa tercabar atau cemburu. Memang mereka adalah senior dan mempunyai peminat yang tersendiri. Banyak yang kami boleh belajar daripada mereka sebenarnya.

“Ia adalah persaingan yang cukup sihat antara pelawak-pelawak generasi baru dan generasi lama apabila kehadiran kami ini diangkat ke martabat yang lebih baik, itu yang penting,” katanya.

No comments:

Post a Comment