Wednesday, December 14, 2011

TV1 TAYANGKAN 7 ANIMASI MENARIK SEMPENA CUTI SEKOLAH


Sepanjang Disember ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menayangkan filem-filem animasi hebat terutamanya dalam meraikan musim cuti sekolah khas untuk penonton setia salurannya.

Tujuh filem animasi popular yang telah dipilih adalah Wall–E (8 Disember), Over The Hedge (12 Disember), Meet The Robinson (15 Disember), Way of The Panda (19 Disember), Treasure Planet (22 Disember), The Wild (26 Disember) dan Flushed Away (29 Disember) yang kesemuanya disiarkan jam 2.05 petang di TV2.

WALL-E
Kisah Wall–E merupakan satu-satunya robot terakhir di atas muka bumi yang diberi tanggungjawab untuk membersihkan planet bumi. Ia dihantar oleh Buy ‘n’ Large untuk membersih sementara menantikan kepulangan manusia yang sedang hidup mewah di atas kapal angkasa. Ketika itu juga Wall – E berdepan dengan masalah cinta dengan robot lain bernama Eva.

OVER THE HEDGE
Menyusul filem Over The Hedge yang meminjam suara latar milik Garry Shandling, Steve Carell, William Shatner dan Nick Nolte. Filem ini mengisahkan seekor rakun yang kenali sebagai RJ yang cuba mencuri makanan seekor beruang bernama Vincent. Tetapi kemudiannya Vincent dapat menangkap RJ. Dalam ketakutan RJ merayu agar dilepaskan dan berjanji akan menggantikan makanan Vincent semula. Jika gagal, RJ akan menjadi makanan Vincent.

MEET THE ROBINSON
Saksikan juga Meet The Robinson yang mengetengahkan watak kanak-kanak lelaki yang bercita-cita mahu mencari keluarga. Dalam pencarian itu, dia telah bertemu dengan seorang lelaki misteri bernama Wilbur Robinson yang telah membawa dia menaiki kenderaan ke ‘masa hadapan’.

THE WAY OF THE PANDA
Kisah seekor panda comel yang sangat gemar berkung fu pula menghidupkan filem Way of The Panda sebelum diteruskan dengan tayangan Treasure Planet yang membawakan kisah pengembaraan seorang remaja bernama Jim Hwakins dalam pelayaran kapal menuju ke Treasure Planet.

THE WILD
Seterusnya teruskan hiburan bersama filem The Wild, kisah seekor singa dan Samson, seekor zirafah yang berasal dari Zoo New York yang telah terperangkap di bumi Afrika. Ryan berasa gembira kerana dapat hidup liar dan bebas. Namun kegembiraannya tidak berpanjangan apabila Ryan terpaksa berdepan dengan keganasan hidupan liar dan bencana alam yang menyebabkannya ingin segera kembali ke New York.

FLUSHED AWAY
Filem Flushed Away bakal menutup tirai tayangan filem-filem animasi menarik sepanjang Disember ini yang mengisahkan seekor tikus peliharaan, Roddy yang hidup di daerah kaya Kensington. Dia bangga menyebut dirinya sebagai seekor tikus yang berdarjat tinggi. Kedatangan seekor tikus jalanan telah membuatkan kehidupannya terganggu sehingga dia tercampak di kawasan pembuangan air. Roddy cuba untuk kembali ke rumah tuannya tetapi pelbagai rintangan perlu dihadapi.