Tuesday, December 20, 2011

Shiha Mentor mahu jadi pengacara (GAMBAR)


MENJADI anak didik atau protege kepada biduanita negara Datuk Sharifah Aini menerusi program realiti Mentor musim kelima merupakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Nurshiha Mohd. Zikir atau lebih dikenali sebagai Shiha.

Bagaimanapun, nasib penyanyi berusia 24 tahun yang memenangi tempat kedua dalam program itu dilihat tidak begitu menyerlah apabila Shiha dikatakan kian menyepi dari dunia hiburan tanah air.

Menurut Shiha, kesibukannya kini menyebabkan dia kurang mendapat publisiti. Malah dia turut menyangkal bahawa tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

"Sekarang saya sedang sibuk menyiapkan album pertama yang memuatkan lima buah lagu. Jika tiada aral melintang, album ini akan berada di pasaran menjelang awal tahun depan.

"Demi memastikan kelancaran album pertama ini, saya juga terpaksa mengurangkan aktiviti demi untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada album ini," katanya ketika ditemui selepas Mini Showcase Mentor di Holiday Villa Subang, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Popular dengan lagu Bila Bertemu Mu sentuhan komposer Ajai, menurut Shiha dia memilih untuk berkerjasama dengan komposer popular, Kuncidemak untuk album pertamanya itu.

"Saya memilih untuk berkerjasama dengan Kuncidemak adalah kerana hubungan baik yang telah terjalin di antara kami sebelum saya bergelar penyanyi lagi.

"Saya pasti album ini bakal merungkai segala persoalan peminat selama ini yang sering bertanyakan tentang album penuh saya," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu penuh optimis.

Dalam masa yang sama, Shiha turut meluahkan hasrat untuk menjadi seorang pengacara dan berharap diberi peluang untuk mengendalikan program televisyennya sendiri kelak.

Meminati bidang pengacaraan, menurut Shiha dia berharap agar suatu hari nanti dia akan diberikan kepercayaan untuk mengendalikan sebuah program televisyen .

"Selain menyanyi, saya juga sebenarnya meminati bidang pengacaraan. Semuanya tercetus apabila saya diberikan peluang untuk mengacarakan sebuah program televisyen baru-baru ini.

"Walaupun masih mahu dikenali sebagai seorang penyanyi, saya berpendapat tidak ada salahnya untuk saya menanam impian untuk serius menjadi pengacara suatu hari nanti," jelasnya.

Menolak hanya untuk dikenali menerusi kontroversi, ujar Shiha dia lebih selesa sekiranya peminat mengenalinya melalui perjalanan kariernya sahaja.

"Umi (panggilan untuk Sharifah Aini) sendiri sering mengingatkan saya sentiasa menjaga tingkah laku saya agar perkara buruk tidak mendekati perjalanan yang baru hendak bermula ini.

"Bagaimanapun status sebagai seorang artis sering membawa kisah peribadi saya menjadi tatapan umum. Untuk itu, saya sentiasa berjaga-jaga agar publisiti yang diterima saya sentiasa berunsur positif sahaja," katanya.

Diusik tentang persoalan cinta, Shiha mengakui dia kini sedang dilamun cinta tetapi lebih selesa untuk tidak mendedahkan kisah cintanya.

"Perkenalan kami sejak beberapa tahun lepas menjadikan hubungan kami kini rapat. Walaupun begitu, soal perkahwinan masih lagi belum difikirkan memandangkan kami berdua masih sibuk menguruskan kerjaya masing-masing," katanya.