Tuesday, December 20, 2011

Namewee Pikat Ramai Wajah Popular untuk Hantu Gengster


KUALA LUMPUR, 20 DISEMBER 2011: Selepas berjaya menerbitkan filem Nasi Lemak 2.0, pelakon dan pengarah kontroversi, Namewee tanpa menoleh ke belakang telah menjalankan penggambaran filem kedua arahannya iaitu Hantu Gangster.

Apa yang menarik, filem yang telah memilih Klang sebagai lokasi pertama penggambarannya itu telah mengumpulkan lebih ramai artis popular tempatan untuk melibatkan diri dalam filem ini.

Pasangan pelakon yang sedang hangat bercinta iaitu Diana Danielle dan Farid Kamil turut sama menjadi tunjang utama filem yang masih mengekalkan konsep seperti mana Nasi Lemak 2.0.

Selain pasangan itu, vokalis utama Hujan iaitu Noh buat julung kalinya melibatkan diri sebagai pelakon bersama Datuk Jalaluddin Hassan, Amber Chia, Taijuddin Bakar dan sekali lagi Namewee telah mengekalkan pelakon Nasi Lemak 2. 0 seperti Dato David Arumugam, Reshmonue serta Dennis Lau untuk filem terbarunya itu.

"Saya tidak menjangka akan mampu untuk melakukan penggambaran secepat ini. Namun, saya mengucapkan terima kasih kepada respon yang kukuh untuk filem pertama saya. Ianya membolehkan saya meneruskan semangat dalam pembikinan filem terbaru ini.

"Sama seperti Nasi Lemak 2.0, saya berharap untuk menyampaikan mesej yang positif melalui gaya ceritanya tersendiri. Jika anda menyukai filem pertama saya, saya percaya anda akan lebih terhibur dengan filem ini.

"Kami berharap dapat melancarkan filem ini pada bulan Merdeka tahun hadapan, jadi kami benar-benar berharap Finas dan pihak berkuasa yang berkaitan akan memberikan kami lebih banyak sokongan kali ini.

"Ini kerana filem ini turut membawa mesej yang positif yang dapat disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia," ujar Namewee.

Menyokong apa yang diperjelaskan Namewee, Fred Cheng yang sekali lagi menjadi penerbit ekskutif filem ini turut mempunyai matlamat yang sama dengan Namewee.

"Kami mahu mengekalkan semangat Nasi Lemak 2.0 dengan jalan cerita setempat dan dialog pelbagai bahasa. Jadi kami telah menjemput beberapa bintang filem serta pemuzik yang terkenal dalam industri hiburan untuk menyertai projek terbaru kami.

"Saya telah menghabiskan banyak masa mengkaji latar belakang pelakon-pelakon baru saya. Selain itu, saya juga telah mengkaji identiti mereka dengan mengenali ciri-ciri unik untuk mereka dalam cerita ini. Namewee juga telah menulis sebuah lagu untuk Datuk David Arumugam yang bakal menyanyi dalam filem ini," kata Fred Cheng.

Dalam pada itu, Diana Danielle ternyata amat komited dengan filem ini dan tahu apa yang berlaku sebelum ini terhadap filem pertama Namewee.

"Saya telah ditanya mengenai alasan saya untuk bekerja dengan Namewee, yang mempunyai beberapa isu-isu kontroversi pada masa lalu. Namun setelah menonton Nasi Lemak 2.0, nampaknya saya benar-benar menyukai filem tersebut.

"Saya mengagumi gaya pembuatan filem itu, yang bijak dalam banyak cara. Jadi apabila penerbit menghubungi saya untuk menjadi pelakon utama dalam filem kedua Namewee, saya segera terus katakan Ya, " jelas Diana Danielle.

Sementara itu menurut Farid Kamil yang juga merupakan seorangan pengarah dan pelakon seperti Namewee, menyifatkan kerjasama istimewa itu amat menarik dan diharap dapat mencapai sesuatu yang lain daripada yang lain.

Filem Hantu Gangster merupakan filem komedi seram mengenai tiga kumpulan gangster dari latar belakang budaya yang berbeza namun bersama-sama untuk mempertahankan keluarga mereka, melalui bantuan pencuri kecil-kecilan yang dimainkan oleh Namewee.

Filem Nasi Lemak 2.0 telah memecahkan box office tempatan Cina dengan kutipan lebih daripada RM7 juta namun telah ditolak oleh Finas untuk skim rebat cukai kerajaan.

Nasi Lemak 2.0, baru-baru ini telah ditayangkan di acara berprestij Film Festival Antarabangsa Golden Horse, Taipei dan juga Singapura.

"Kami telah menerima jemputan dari beberapa festival filem termasuk Jepun, Hong Kong dan Eropah dan ironiknya kami tidak layak menyertai Festival Filem Malaysia kerana tidak mempunyai dialog bahasa Melayu yang mencukupi," kata Namewee.