Sunday, December 4, 2011

Shida Harmi Rayu Buang Gambarnya Bagi Bersihkan Maruah


Shida Harmi, wanita yang dikaitkan mempunyai hubungan skandal bersama penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek telah dihubungi oleh wartawan OHBULAN! bagi mendapatkan keterangan yang lebih jelas, sekitar pukul 1230 tengah hari tadi.

Apabila ditanya mengenai kesahihan mesej-mesej yang terkandung dalam screenshot Blackberry Messenger (BBM), Shida Harmi menegaskan ia bukan datang daripada dirinya.

“Bukan, bukan saya yang tulis macam tu. Mungkin ada pihak ketiga yang cuba menjatuhkan nama Apek, lantas mengaitkan nama saya dalam hal ini. Jujurnya, saya mengenali Apek sekitar akhir Februari. Saya akui kami keluar bersama karaoke, tapi bukan pergi berdua. Sekitar bulan March, saya mula menjarakkan diri daripada Apek apabila tahu dia akan mengikatkan tali pertunangan. Sejak itu, kami lost contact.”

Berkenaan penyebaran gambar-gambar tersebut, Shida Harmi mengesyaki penglibatan orang ketiga dalam usaha menjatuhkan reputasi Apek.

“Saya memang syak penglibatan orang ketiga kerana dia sahaja yang pernah melihat gambar-gambar berkenaan dalam Blackberry saya. Namun, saya tak akan mendedahkan namanya kerana enggan memanjangkan cerita,” tegas Shida Harmi.

Eksekutif muda ini turut merayu kepada orang ramai agar membuang gambar tersebut dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga yang bakal dibina dalam masa terdekat.

“Saya minta jasa baik semua pihak agar membuang gambar-gambar berkenaan kerana ia membabitkan maruah keluarga saya dan bakal mertua. Untuk pengetahuan, saya akan melangsungkan perkahwinan sekitar 2 minggu lagi dan cerita sebegini sememangnya mengugat kepercayaan tunang terhadap saya. Bagaimanapun, kami akan tetap meneruskan perkahwinan,” rayu Shida Harmi kepada orang ramai melalui wartawan OHBULAN!.