Saturday, December 3, 2011

Najwa Menangis Dapat ke AJL 26


“Alhamdulillah, saya rasa sangat seronok dapat mara ke peringkat akhir. Saya baru lima bulan berada dalam industri ini dan tak sangka boleh pergi sejauh ini. Kalau ada pihak yang tidak suka apabila lagu ini mara ke final, saya pun tak dapat hendak komen selanjutnya. Saya sendiri tidak pernah terfikir akan ke final. Ini adalah keputusan juri profesional,” ujar Najwa mengakui dia mengalirkan air mata sebaik tahu ‘Cinta Muka Buku’ mara ke Anugerah Juara Lagu 26 (AJL 26).

Sebagai seorang penyanyi dan penggubah kepada lagu ini pasti Najwa punya pendapat sendiri tentang lagu yang menjadi pertikaian ramai ini. Adakah Najwa terguris dengan komen-komen yang diberikan di laman Facebook dan Twitter? Atau dia sekadar buat tidak tahu?

“Saya percaya semua orang ada masa berada di atas dan ada masa berada di bawah. Jadi, saya cuba lakukan yang terbaik untuk menghadapi situasi ini. Macam yang saya katakan tadi, saya tidak mampu untuk puaskan hati semua orang. Sebagai pencipta dan penyanyi lagu ini saya punya pendapat sendiri. Memang melodi dan lirik lagu ini ringkas. Saya sengaja buat begitu kerana mahu lagu ini dekat dengan pendengar. Mereka boleh yanyi bersama-sama saya setiap kali mendengar lagu ini.

Mungkin lagu ini kedengaran mudah untuk dinyanyikan tetapi saya sendiri perlu selalu berlatih untuk memastikan penyampaian saya lebih jelas dan baik. Bagaimanapun, saya terima semua pendapat yang diberikan secara positif. Sebagai penyanyi, saya akan lakukan yang terbaik untuk final nanti,” ujar Najwa dengan mata berkaca-kaca menahan sebak.

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 16 tahun ini akan melancarkan mini albumnya dalam sedikit masa lagi. Album itu akan memuatkan lima buah lagu yang terdiri daripada ‘Cinta Muka Buku’, ‘Kata Hati’, ‘Sahabat’, ‘I Love You’ dan ‘Kosong’.