Tuesday, December 20, 2011

Search 'tua' yang berbisa di Mines (VIDEO | 6 GAMBAR)


DENGAN pakaian ala-ala seorang maharaja, imejnya itu seakan-akan menggambarkan dia dan Search sebagai gergasi dalam persada muzik rock tanah air.


DI KALA banyak kumpulan rock era tahun 1980-an berkubur, Search antara yang terus aktif bermain muzik.

Mereka bukan sahaja bertahan sejak ditubuhkan pada 1981, malah masih diterima oleh para peminat, termasuklah generasi muda.

Sambutan para peminat itu dapat dilihat berdasarkan beberapa siri Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang diadakan baru-baru ini. Ia termasuklah yang diadakan di Pusat Konvensyen Mines (MIECC), Seri Kembangan Selangor, Sabtu lalu.

Pada siri konsert terbaru Search selepas di Pulau Pinang dan Johor Bahru itu, kumpulan lima anggota tersebut berjaya membuktikan mereka masih bisa dan mempunyai ramai peminat.

Buktinya, hampir 15,000 peminat membanjiri MIECC biarpun pada asalnya lokasi konsert itu ialah di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor. Bagaimanapun, bagi mengelakkan risiko cuaca terutama musim hujan, ia bertukar ke MIECC.

Ternyata pertukaran lokasi itu tidak menghalang para peminat membanjiri MIECC sehingga berlaku kesesakan hampir dua jam di sekitar kawasan pusat membeli-belah The Mines yang berdekatan tapak konsert tersebut.

Dengan tiket berharga RM70, para peminat yang membanjiri MIECC cukup teruja dan berbaloi menyaksikan persembahan tanpa henti selama tiga jam daripada kumpulan rock legenda itu bermula pukul 9.10 malam.

Hampir menangis

Menurut vokalis Search, Amy, dia dan anggota-anggota kumpulan berpuas hati dengan konsert yang dianjurkan sempena 30 tahun penubuhan mereka.

"Malam ini kami memang letih. Kami dapat merasakan yang kami betul-betul merayakan ulang tahun Search. Sewaktu di atas pentas tadi saya hampir hendak menangis tetapi saya tahan sahaja," komennya sewaktu ditemui selepas konsert itu.

Dengan pentas berskala besar termasuklah kemudahan sistem bunyi, penataan cahaya dan set pentas yang canggih, bukan setakat Search yang berpuas hati tetapi para peminat juga pulang dengan rasa berbaloi.

Justeru, apabila Search muncul di pentas dengan memulakan persembahan dengan lagu berjudul Panggung Khayalan dan Gothik Malam Edan, suasana dewan di MIECC bingit dengan pekikan penonton.

Ramai peminat yang turut menyanyi sambil berasak-asak sehingga belumpun tamat dua lagu itu, seorang peminat lelaki pengsan dan terpaksa dipapah keluar dari dewan tersebut.

Sebagai pemuzik berpengalaman, Search bijak mencuri hati para penonton pada malam itu. Salah satunya menerusi pemilihan lagu-lagu popular mereka antaranya berjudul Fenomena, Musnah, Melayar Bahtera, Serigala Segalanya, Balada Pemuzik Jalanan, Rozana dan Bisa.

Pastinya, dewan MIECC paling gamat apabila Search menyampaikan lagu Isabella di mana hampir kesemua penonton menyanyikan rangkap lagu itu bersama-sama Amy dari mula hingga ke klimaknya.

Tambah penyanyi berusia 52 tahun itu, pertukaran lokasi konsert ternyata tidak menghalang para peminat menyokong konsert itu. Apatah lagi, sewaktu konsert itu diadakan turut berlangsung ialah konsert Ruth Sahanaya dan Datuk Sharifah Aini, Dewi Yull serta Grace Simon di Kuala Lumpur.

"Kalau diikutkan lokasi asal konsert ini di Petaling Jaya lebih sesuai kerana di situ ada kemudahan seperti LRT Putra. Sedangkan di sini pengangkutan awam payah sedikit.

"Tetapi apa yang kami paling risaukan ialah soal musim hujan yang tidak menentu sekarang ini. Contohnya, konsert kami di Pulau Pinang pada bulan lalu dilanda hujan lebat sehingga ia lewat bermula. Apa pun kami bersyukur kerana para peminat tetap datang meskipun lokasi konsert ini ditukar pada saat akhir," jelasnya.

Sungguhpun beraksi tanpa henti selama tiga jam, namun Search tetap bertenaga. Jelas pemain dram Search, Yazit Ahmad masa yang panjang itu tidak mematahkan semangat kumpulannya.

Biarpun dia menghidap penyakit buah pinggang, tetapi ketukan dramnya terus mantap dari lagu pertama sehinggalah ke penghujung lagu ke-26 yang dipersembahkan Search pada malam itu.

"Saya rasa kami cukup bertenaga pada malam ini kerana adanya sokongan daripada semua pihak. Ia bukan sahaja daripada segi peralatan canggih yang banyak membantu saya dan Search tetapi juga sokongan para peminat. Kalau tidak saya mungkin sudah lembik malam ini," ujarnya.

Tidak pernah mengecewakan

Konsert itu tambah hangat apabila Search mengundang komposer dan penyanyi, Datuk M. Nasir sebagai artis undangan mereka. Penyanyi kelahiran Singapura itu berbesar hati apabila diundang pada konsert berskala besar itu.

Jelas Nasir, dia menganggap jemputan beraksi dan berduet dengan Amy menerusi lagu berjudul Mat Rock, Paranoid dan Meniti Titian Usang sebagai suatu penghargaan buatnya yang selama ini banyak mencipta lagu untuk Search.


"Sebelum ini saya pernah buat persembahan dengan Amy tetapi dalam persembahan-persembahan yang kecil sahaja. Bagi saya undangan ini suatu penghargaan buat saya di mana secara tidak langsung mereka ingat pada saya.

"Saya gembira dengan persembahan ini dan hanya mengikut lagu-lagu yang Search cadangan untuk kami persembahkan malam ini. Saya menyanyikan lagu-lagu itu sedaya upaya saya biarpun nada vokal saya lebih 'bass' bunyinya berbanding Amy yang lantang suaranya.

"Setakat ini, belum ada mana-mana kumpulan rock tempatan yang menyamai kehebatan Search di mana mereka pernah mencetuskan fenomena tersendiri selepas era Sweet Charity. Search berjaya menaikkan kegemilangan muzik rock selepas era itu.

"Apatah lagi, tidak ramai artis kita yang mampu menarik ramai peminat bagi menyaksikan konsert yang berbayar seperti Search. Kumpulan ini pula memang jarang mengecewakan para peminat mereka," tuturnya.

Search seterusnya menghangatkan lagi konsert itu pada suku terakhir dengan lagu-lagu popular mereka seperti Isi Atau Kulit, Langit Dan Bumi, Menara Kesesatan, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Pelesit Kota, Pawana dan diakhiri dengan lagu Fantasia Bulan Madu.


Selain Amy dan Yazit, Search pada konsert itu turut disertai oleh Din (gitar), Nasir (bass) dan Kid (gitar).