Saturday, December 17, 2011

Penggunaan tablet boleh tingkatkan produktiviti syarikat


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Produktiviti syarikat-syarikat Malaysia boleh ditingkatkan lagi dengan memilih menggunakan tablet.

Pengarah Jualan Serantau (ASEAN) SonicWall Inc, Ang Chye Hin berkata, pada masa ini, beberapa syarikat mengamalkan konsep "bekerja dari rumah" dan sekiranya tablet digunakan berbanding komputer riba, tempat kerja boleh dipelbagaikan.

"Ini akan meningkatkan produktivitu syarikat kerana pekerja akan mempunyai akses ke pejabat pada bila-bila masa dan di mana jua," kata beliau kepada Bernama dalam satu temubual.

Beliau berkata penghantaran peranti mudah alih akan mengatasi penghantaran PC dalam tempoh satu hingga satu setengah tahun dan pekerja di ekonomi membangun dan maju, akan bergerak daripada peranti IT atau yang diuruskan seperti Blackberry kepada peranti iPhones, iPads, Android atau Symbian.

"Pertumbuhan tablet akan terus meningkat. Inilah fenomena pada masa ini di negara-negara ASEAN, terutamanya Malaysia, Singapura dan Thailand.

"Menjelang 2015, tablet bersedia untuk menguasai 23 peratus daripada keseluruhan jualan PC. Saya rasa ia amat baik jika syarikat Malaysia boleh merebut peluang ini," tambah beliau.

Sementara itu, Chye Hin berkata, membawa maklumat sulit dan rahsia berkaitan syarikat dan pengguna di tablet, amat rapuh dan merbahaya.

Sehubungan itu, beliau menambah, SonicWall, sebuah syarikat penyedia rumusan keselamatan Internet antarabangsa telah melancarkan "SonicWall Mobile Connect".

Beliau berkata yang produk itu menyediakan tahap akses rangkaian yang selamat ke sumber-sumber korporat daripada perantai iPhone, iPad dan iPod Touch.

"Ia juga mempunyai kawalan dasar yang disatukan bagi membataskan akses daripada sistem operasi mudah alih Apple, iOS.

"Selain daripada itu, produk itu akan digunakan untuk melaksanakan pelindungan malware, kawalan dan pengurusan jalur lebar," kata beliau.