Tuesday, December 6, 2011

Noh tuduh kerajaan Selangor burukkan imejnya


Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hari ini mendakwa akhbar milik kerajaan Selangor sengaja menyiarkan berita-berita rekaan dan tidak berasas mengenai beliau.

Noh berkata tujuan akhbar 'Selangorkini' adalah untuk memburukkan imej dan kredibiliti sekaligus menjatuhkan beliau pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor berkata, rakyat negeri itu tidak akan terpedaya dengan fitnah dan taktik kotor kerajaan Pakatan yang gagal membawa pembangunan dan perubahan drastik di negeri ini.       

Katanya, beliau akan menghubungi peguam peribadi, kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu.

"Mereka nak hilangkan kepercayaan rakyat Selangor kepada kepimpinan saya, sebab itu dia (kerajaan Selangor) kata saya lesapkan duit, dia kata pesawah semua nak saya letak jawatan. Mereka cari apa saja cara untuk bunuh orang-orang Umno. Jadi mereka buat fitnah, itulah kerja mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Inovasi MARDI 2011.

Noh berkata beliau juga sedia berdebat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu-isu yang dibanggitkan itu bagi membolehkan rakyat sendiri menilai dan memahami kebenarannya.