Tuesday, December 6, 2011

ENOT Penyebab 3G Tersingkir, MLM ?


Program realiti No. 1 Malaysia, Maharaja Lawak Mega minggu lalu menyaksikan penyingkiran 2 Peserta secara serentak daripada 9 yang dipertandingkan. Penyingkiran 3G selain daripada Peserta dari Indonesia iaitu Bawel benar-benar mengecewakan peminat Kumpulan yang dianggotai Didie, Enot dan Yassin.

Lebih-lebih lagi buat peminat Yassin, mereka mengharapkan bekas anggota Kumpulan Senario ini kembali menempa nama melalui Program tersebut setelah mengalami era kejatuhan akibat pertuduhan mahkamah melibatkan kes pengambilan dadah.

Ada yang turut berpandangan Enot dilihat menjadi punca peminat Maharaja Mega enggan mengundi Kumpulan 3G kerana tidak mampu memberi persembahan yang lebih baik. Akan tetapi undian telah diberikan. 3G dalam kenyataan media akur dengan kekalahan tersebut dan menganggap ianya bukanlah penghalang untuk mereka meneruskan kerjaya seni masing-masing.

Sistem pemarkahan yang diambilkira melalui rancangan ini berdasarkan kepada undian penonton yang membawa kepada 30% markah serta baki 70% lagi adalah hasil permarkahan juri tetap dan juri jemputan.

Rancangan yang dihoskan oleh AC Mizal itu telah menggunakan tema Muzikal sebagai persembahan yang dipertandingkan pada minggu yang lalu. Dengan penyingkiran 2 Kumpulan tersebut, maka kini Maharaja Mega bakal berdepan dengan pertaruhan 7 Peserta lagi pada minggu hadapan.

Rancangan yang disiarkan secara langsung di Saluran Astro Warna ini telah membariskan 3 juri terkenal iaitu Datuk Chef Wan, Datuk Siti Nurhaliza dan Bekas Pemain Bola Sepak Negara Zainal Abidin Hassan.