Friday, December 2, 2011

Nadia Aqilah Enggan Hukum Zaiton Sameon


KUALA LUMPUR, 2 DISEMBER 2011: Pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah Bajuri, 26 mengakui agak sukar untuknya memegang peranan sebagai bintang 80-an, Zaiton Sameon malah atas alasan itu membuatkan dia lebih menghormati penyanyi senior berkenaan sepanjang bergelar penyanyi pujaan sekitar era berkenaan.

Bercakap kepada portal murai.com.my, Nadia Aqilah berkata pengalamannya melakonkan watak Zaiton Sameon di dalam filem cereka bintang popular berkenaan telah membuatkan dia tersentuh dan menghargai segala perit jerih penyanyi berkenaan untuk mencipta nama sebagai penghibur kegemaran ramai.

"Apa yang saya harapkan, selepas tayangan filem ini orang ramai akan menyayangi Zaiton Sameon sebagai seorang selebriti yang pernah menghiburkan kita suatu ketika dulu dan bukan dengan menghukumknya.

"Saya tahu, selepas kemalangan yang berlaku ke atas Zaiton Sameon suatu ketika dulu, ramai yang menghukumnya dengan segala macam perkara sehingga kita terlupa bahawa dia pernah menghiburkan dan menceriakan hidup kita suatu ketika dulu," kata pelakon muda itu.

Filem cereka Zaiton Sameon telah menamatkan penggambarannya pada 26 November lalu selepas menjalani penggambaran lebih sebulan dan bakal ditayangkan pada tahun depan.

Filem yang diadaptsai dari kehidupan sebenar Zaiton Sameon itu pernah mengundang kontroversi apabila pengarah asal filem berkenaan, Fauziah Nawi menarik diri daripada terus mengarahkan filem biografi berkenaan.

Nadia Aqilah yang turut aktif dalam lakonan teater dan pernah melahirkan sebuah album juga berkata, banyak kesukaran yang terpaksa dihadapinya semata-mata untuk menjayakan watak Zaiton Sameon mengikut konteks sebenar.

Jelasnya, dia perlu memegang watak Zaiton Sameon ketika dia berusia 20-an, 30-an dan 40-an, sehinggalah apabila bintang pujaan berkenaan terbabit dengan kemalangan yang telah meragut nyawa anaknya, Azirwan Abu Bakar sekitar tahun 1990.

"Terlalu banyak perkara yang telah saya lakukan untuk menjayakan watak Zaiton. Saya bukan saja Google Zaiton Sameon, malahan juga saya kerap bercakap dengannya dan perlu mengetahui lagu-lagunya.

"Bagi saya, dia seorang penghibur sebenar yang langsung tidak kisah dengan apa juga kata orang, asalkan dia dapat naik pentas membuat persembahan di hadapan penonton. Dia memang dilahirkan sebagai seorang penghibur dan bukan sekadar menyanyi," katanya.

Bukan sekadar melakonkan watak penyanyi berkenaan, malah Nadia Aqilah perlu menghafal kebanyakan lagu Zaiton Sameon sebagai memudahkan dirinya menghayati setiap bait lagu apatah lagi watak berkenaan.

Antara lagu Zaiton Sameon yang menjadi kegemaran Nadia Aqilah ialah Kabut Serangkai Mawar dan Menaruh Harapan kerana beranggapan kedua-dua lagu berkenaan sangat istimewa dan punyai makna mendalam.

"Memegang watak dan menyanyikan lagu-lagu Zaiton Sameon adalah satu penghargaan tidak terhingga buat saya dan saya percaya di luar sana ada ramai peminta yang masih dan kekal menyayanginya," katanya yang sempurna dengan persalinan Amir Luqman.