Friday, December 2, 2011

Isma AF7 dapat banyak show hingga ke Brunei (GAMBAR)


JIKA ramai artis kelahiran program realiti TV Akademi Fantasia yang lain mengeluh tidak ada kerja, ia sebaliknya bagi Isma AF7 yang bijak merencana perjalanan karier seninya sebaik saja musim AF7 berakhir.

Tidak cukup dengan itu, pemilik nama sebenar Ismaliza Ismail, 31, juga tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan sehinggalah ke Brunei Darussalam.

“Sebenarnya, saya memang sudah bergerak sendiri sebelum menyertai AF7 dengan kumpulan muzik asli sendiri. Antaranya, kami jayakan persembahan untuk TUDM dan polis. Alhamdulillah, selepas AF7, rezeki saya dalam bidang nyanyian semakin murah. 

“Saya juga tidak ada publisiti dan mungkin orang fikir saya menyepi kerana sibuk memberikan tumpuan pada filem, rakaman album di studio dan undangan persembahan. Saya juga tidak bimbang dengan kehadiran artis baru kerana melihatnya sebagai persaingan sihat serta lebih bersemangat untuk bekerja.


“Impian saya untuk menjadi penyanyi versatil dan terus memperbaiki kelemahan sedia ada dan belajar dan terus belajar. Apapun, saya ingin buktikan pada orang, saya masih wujud di persada hiburan kita,” katanya.


Terbaru, Isma yang kini bernaung di bawah Global Records, baru selesai rakaman album duet bersama suaminya dan bakal di lancarkan dalam tempoh terdekat ini. 

“Bingkisan album yang berkonsep balada ini menampilkan sepuluh lagu iaitu empat lagu solo nyanyian saya dan empat lagi dari suami serta lagu duet dari kami berdua. Album ini nanti akan memuatkan lagu antaranya Aku Bukan Pilihanmu dan Rasa Hati. 

“Idea untuk menghasilkan lagu duet adalah dari rakan kami sendiri kerana tiada lagi lagu disampaikan pasangan suami isteri. Justeru, terhasillah lagu Bicara Tentang Cinta. Saya juga merancang untuk menghasilkan single duet dengan adik saya, Tomok tapi masih dalam perbincangan lagi,” katanya. 

Dalam diam juga, Isma baru selesai menyiapkan filem bersama Tauke Raja Lawak berjudul Sofaz The Movie, Jiwa Kacau terbitan Nusan Bakti Corporation. 

Kata Isma, sebelum mengarah filem, dia banyak belajar dengan pengarah veteran AR Badul dan menganggap kepercayaan diberi itu satu cabaran buatnya kerana akan mengarah bersama Tauke Raja Lawak yang juga pertama kali mengarah filem. 

“Saya juga akan bekerja keras untuk memberikan hasil terbaik untuk filem ini. Saya juga bersedia menerima kritikan termasuk yang negatif dan saya akan terus memperbaiki kelemahan diri. Apa yang saya harapkan ialah sokongan dari mereka yang ada dalam bidang hiburan,” katanya. 

Sesibuk manapun dengan aktiviti seni, Isma tetap memberi keutamaan pada rumah tangganya. Hasil perkongsian hidup dengan Zul 2 By 2, mereka dikurniakan lima anak, Muhammad Haiqal Aiman, 13; Muhammad Haiqal Aydiel 12; Seri Aida Melissa, 10; Seri Ayreen Merlynda, 7 dan Seri Adryana Marcella, 3. 

“Suami memberikan sokongan seratus peratus dan banyak memberi bimbingan kerana dia lebih berpengalaman dari saya. 

Selalunya undangan persembahan pada hujung minggu dan pada hari biasa pula, saya luangkan masa berkualiti bersama anak-anak. 

“Karier seni adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebaiknya. Ia adalah karier yang dipilih kerana minat. Walaupun saya terpaksa meninggalkan anak-anak di rumah, mereka sentiasa ada di hati saya. Saya tidak mahu ada perasaan sedih sebab bila sedih kita tidak dapat beri tumpuan pada kerja. 

“Pada masa sama, saya juga ingin melihat anak-anak memberi tumpuan pada pelajaran dan hanya menceburi bidang seni selepas selesai belajar nanti,” katanya. 

Tambah Isma lagi, dia bertuah kerana keluarga kedua belah pihak tinggal berdekatan dengan kediamannya. 

“Ibu bapa saya dan keluarga mentua selalu datang ke rumah menjenguk anak-anak jika kami keluar bekerja. Selain itu, kami ada pembantu rumah yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri kerana hampir lapan tahun bekerja dengan kami sekeluarga,” katanya.