Tuesday, December 13, 2011

Maya Karin Solo dan Kesunyian?


Masih belum dimiliki dan selesa dengan kehidupannya kini, kata penyanyi dan pelakon popular Maya Karin, tiada peneman atau teman lelaki bukanlah satu isu besar dalam dirinya.

Mengakui ceria dan gembira dengan kehidupan solonya, jelas Maya Karin, kini fokusnya hanya pada kerjaya.

"Saya memang masih belum mempunyai kekasih hati. Saya boleh fokus dengan kerjaya saya. Syukur kerana tahun ini dua buah filem saya mendapat sambutan yang menggalakkan dan itu sudah cukup kuat dan membakar semangat saya untuk terus berkerja dengan keras.

"Tidak ada seseorang yang istimewa bukanlah satu masalah dan saya tidak pernah sunyi kerana sentiasa dikeliling keluarga dan rakan-rakan," katanya membuka bicara mengenai kehidupan peribadinya.

Ditemui pada majlis meraikan pemenang bertuah pertandingan Innershine, Prune baru-baru ini, jelas pelantun lagu Terbang itu, jadual seninya pada tahun depan juga telah pun penuh.

"Alhamdulillah tahun depan ada projek serta produk baru telah pun menanti untuk saya. Saya berharap agar tahun depan akan memberi sinar kecemerlangan diri dan kerjaya saya akan terus bergemerlapan," katanya sambil tersenyum manis.

Bersyukur dengan sambutan ramai terhadap filem terbarunya Ombak Rindu, jelas anak kelahiran Jerman itu, perkara tersebut berlaku disebabkan hasil kerja keras semua pihak terlibat.

Ditanya mengenai pembabitannya untuk Ombak Rindu versi drama bersiri, Maya Karin berkata perkara tersebut akan dipertimbangkan.

"Sebenarnya agak penat untuk menjayakan babak air mata.Kalau dibawa kepada drama bersiri pun situasinya tetap sama. Saya ada dengar cadangan itu namun tidak ada pihak lagi yang datang berjumpa saya untuk membincangkannya.

"Susah untuk saya mengulas sekiranya ia akan dibuat dalam bentuk drama bersiri. Siapakah yang akan berlakon dan pengekalan tiga watak utamanya juga sukar untuk saya menjawab.

"Kalau ditukar pasti moodnya juga akan jadi lain. Saya sendiri tidak pernah berlakon drama dan hanya pernah berlakon drama sebagai watak tambahan untuk dua buah filem saya iaitu Waris Jari Hantu dan Pontianak Harum Sundal Malam yang telah dijadikan drama.

"Tetapi itu pun sebagai wetak undangan saja. Kalau ada pihak yang datang berbincang, mungkin saya akan pertimbangkan.," katanya lagi.

Terdahulu, seramai 15 orang pemenang bertuah telah pun diberi peluang keemasan memanjakan diri mereka di spa dan minum petang bersama Maya Karin di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.