Wednesday, December 21, 2011

Majlis Perkahwinan Rich & Velvet Lawrence AF4 (8 GAMBAR)


RICH yang baru beberapa hari bergelar suami ditemani ahli grup Estranged bagi sesi temu bual ini. Dia banyak mendiamkan diri.

Sebaliknya Hanafi, Din dan Andy yang sering mengusiknya yang dia mungkin merindui si isteri yang masih berada di Negeri Di Bawah Bayu.

Ya, Rich atau Richael L. Limbang, vokalis band yang kini muncul dengan album Remain Unknown ini sudah pun bergelar suami kepada penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim keempat, Velvet Lawrence Aduk pada Disember lalu.

Majlis yang diadakan di Shangri-La Tanjung Aru Resort, Kota Kinabalu, Sabah itu dihadiri kira-kira 600 orang jemputan daripada kaum keluarga dan rakan terdekat sahaja.

Ujar Rich yang sentiasa memegang sebotol air mineral dan menampakkan cincin terserlah di jari: “Saya memang mahu beritahu kepada semua setelah selesai semua resepsi.

“Kami dan keluarga memilih untuk mengada-

kannya secara eksklusif dan tertutup. Saya harap itu dapat dihormati.”

Pasangan ini melangsungkan pertunangan pada Julai lalu selepas Rich melamar Velvet pada awal tahun. Kemudian perancangan untuk ke hari bahagia disusun cantik tanpa pengetahuan ramai.


“Kami juga cuma dapat tahu sebulan sebelum Rich mahu berkahwin,” ujar Din mewakili grup mereka.

Rich yang pulang dua hari ke Kuala Lumpur untuk acara Separuh Akhir Muzik-Muzik menyedari bahawa ada sesetengah pihak yang terkejut dan terasa hati tentang rahsia perkahwinannya yang berlangsung 5 Disember lalu, namun ada sebab semua itu berlaku.

“Saya tidak mahu kecoh-kecoh. Dalam masa yang sama Estranged juga baru keluar album. Jadi saya tidak mahu hal peribadi mengganggu kelancaran album kami,” ujarnya yang nyata terkejut dengan hal perkahwinannya tiba-tiba jadi bualan.

“Saya sedar hal yang baik tidak patut dirahsiakan tetapi segalanya terpulang kepada individu bagaimana mahu mengadakan hari bahagia mereka.

“Bagi kami perkahwinan itu sangat suci dan kami mahu ia dibuat secara tertutup”, ujar Rich yang akan membawa isterinya berbulan madu pada tahun hadapan.

“Kami sudah berpasangan selama dua tahun. Saya jumpa jodoh saya dan rasa kini adalah masa yang sesuai untuk saya mendirikan rumah tangga.

“Tidak perlu tunggu lama-lama,” jelas Rich yang tidak mengadakan sebarang resepsi di Kuala Lumpur.

Selepas bergelar suami Rich merancang untuk lebih pandai membahagikan masa. Estranged kini baru selesai membuat klip video bagi lagu Aurora dan akan muncul dengan single ketiga mereka yang bertajuk In No Time.

Andy dan Din yang menghadiri perkahwinan teman baik mereka ini juga meluahkan rasa terkejut dan tidak menyangka hal ini boleh menyinggung hati beberapa pihak.

Tetapi mereka menghormati permintaan kedua-dua keluarga mempelai dan yang lebih penting lagi bagi Estranged adalah memisahkan hal peribadi dan muzik mereka.