Saturday, December 31, 2011

Chef Wan Tutup Akaun Facebook Mulai 2012


Kecewa dengan mentaliti segelintir masyarakat yang tidak habis-habis mengutuk dan menghina dirinya di laman Facebook miliknya, Chef Wan akhirnya mengambil keputusan untuk menutup akaun itu bermula esok. Jelas Chef Wan yang ditemui pada final Maharaja Lawak Mega malam tadi, beliau mengambil keputusan itu bukan kerana tidak tahan atau tidak boleh menerima kritikan yang dilemparkan terhadapnya, tetapi kecewa dengan sesetengah pihak yang menggunakan akaun Facebook miliknya sebagai medan bertelagah sesama-sendiri.

“Saya rasa lebih baik saya tutup akaun Facebook itu untuk kebaikan semua. Kalau ‘fanpage’ itu menjadi punca hasad dengki, kutuk-mengutuk dan tikam belakang, lebih baik saya tutup sahaja. Saya mahu hidup lebih tenang selepas ini. Biarlah orang tidak tahu apa yang saya lakukan selepas ini. Tujuan saya buat ‘fanpage’ dulu adalah untuk berkongsi pendapat dan pengalaman tetapi sekarang sudah lain jadinya. Ada yang sanggup melemparkan pelbagai hinaan dan kutukan terhadap saya.  Mereka ambil kesempatan dengan ruang yang saya berikan.

2012 saya tidak akan gunakan laman sosial sebagai medium perantaran antara saya dan peminat. Saya memang ada akaun twitter, tapi akaun itu tidak aktif pun. Cukuplah dengan apa yang telah saya lalui, dan saya mahu menjalani hidup bersama keluarga dengan gembira,” luah Chef Wan atau panggilan hormatnya Datuk Redzuawan Ismail.

Mengulas tentang persembahan kesemua kumpulan malam tadi, Chef ini sekali lagi berterus-terang yang beliau kecewa dengan persembahan kumpulan, Syok dan Saehu. Namun, tidak menafikan beliau berasa terhibur dengan persembahan Osbon dan Boboi.

“Osbon dan Boboi memang menghiburkan dan saya ketawa setiap kali mereka buat persembahan. Tapi, Saehu dan Syok, mereka macam kehilangan idea malam ini. Saya tidak boleh ketawa ketika menonton persembahan Syok tadi. Lagi satu saya pelik dan tertanya-tanya mengapa setiap kali kumpulan yang berlakon jadi perempuan, mereka akan menang dan penonton suka? Saya memang tidak faham dengan selera penonton. Kalau bukan untuk lawak-jenaka ramai pula yang marah-marah dengan golongan pondan ini. Entahlah, saya pun keliru.

Bagaimanapun, saya setuju dengan kemenangan Osbon. Mereka memang layak kerana telah membuktikan kepada kita yang mereka memang boleh berlawak, sesuai dengan status mereka sebagai orang lama dalam industri,” ulas Chef Wan yang mengakui dia tidak tahu sama ada akan menerima tugas juri atau tidak pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment