Friday, December 2, 2011

Bung Mukhtar : Mat Sabu Kering Idea Nak Saman Najib


KUALA LUMPUR, 2 DIS : Tindakan PAS memfailkan semakan kehakiman ke atas Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia bersabit Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 mengundang kritikan keras pimpinan UMNO sehingga melabelkan pembangkang sebagai tidak menghormati keputusan Dewan Rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, tindakan memfailkan saman bagi mendapatkan semakan kehakiman itu jelas membuktikan pembangkang bertindak demi kepentingan peribadi.

"Pada saya ini kerja Mat Sabu dan pembangkang yang sudah ketandusan idea sebab dia (pembangkang) suka berdemonstrasi di jalanan jadi dia mahu tidak ada undang-undang, dia suka buat apa dia suka jadi terserah kepada dia."

"Akta ini dibentang di Dewan dan dibahas panjang serta telah diundi dan mendapat kelulusan daripada Dewan Rakyat. Apabila lulus bermakna satu undang-undang boleh diguna pakai oleh negara ini.

"Sama ada Mat Sabu nak buat semakan di mahkamah itu hak dia, tetapi yang jelas bahawa akta ini adalah sebenarnya memberi ruang lingkup yang luas kepada mana-mana rakyat negara ini yang tidak berpuas hati dan ingin menyatakan hasrat tidak puas hati itu melalui perhimpunan dibenarkan oleh kerajaan tanpa diganggu oleh polis. Bahkan akan dibantu oleh pihak polis iaitu dengan memastikan keselamatan perhimpunan itu terjamin,"jelas beliau ketika ditemui AntaraPos.com di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

PAS hari ini bertindak memfailkan semakan kehakiman ke atas Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia kerana membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan.

Dalam saman yang difailkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan dua anggota parlimennya di Mahkamah Tingggi Kuala Lumpur pagi tadi, parti itu menuntut perintah deklarasi bahawa responden bertindak melebihi kuasa dan atau menyalahguna kuasa dengan membentangkan rang undang-undang itu.

PAS juga memohon perintah larangan supaya responden daripada terus melakukan tindakan itu.

Manakala perintah mandamus dipohon supaya responden menarik balik rang undang-undang atau memindanya turut dipohon sebagai alternatif.   
  
Mengulas lanjut perkara yang sama, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak ada keperluan rang undang-undang yang sudah dibahas secara panjang lebar malah sudah diluluskan, dipertikaikan.

"Benda dah lulus buat apa nak cerita lagi?,"katanya.

Sementara itu, Perwakilan Bahagian Cheras, Abu Samah Mohd Said kecewa dengan tindakan pembangkang yang membawa perkara ini ke mahkamah, sedangkan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu merupakan keputusan yang terbaik untuk rakyat.     

"Saya sebagai rakyat Malaysia sangat terkilan dengan cara dia (Mat Sabu) mengambil tindakan mahkamah.

"Tak, saya rasa ini (rang undang-undang perhimpunan aman) memang relevan yang dibuat oleh Datuk Najib, kita ada undang-undang jadi kita tak boleh menghukum sesuka hati, kita ada mahkamah, undang-undang jadi kita kena ikut undang-undang. Apa yang dibuat Perdana Menteri ni adalah betul dan berlandaskan kehakiman,"katanya.