Saturday, December 17, 2011

Beli pakaian di mesin vendor


PenggunaAN mesin vendor untuk menjual pakaian dapat menjimat kos kerana ia tidak memerlukan khidmat pekerja.

KUALA LUMPUR - Kini orang ramai bukan sahaja boleh membeli makanan dan minuman di mesin-mesin vendor tetapi mereka juga boleh mendapatkan pakaian di mesin tersebut.

Ia bakal direalisasikan apabila Social Network Merchandise.com yang giat mengubah cara membeli belah di Malaysia melalui konsep mudah 'mesin penjual'.

Mesin penjual yang dibangunkan oleh Social Network Merchandise.com menawarkan baju-T, topi, lencana dan aksesori lain.

Pengasas Social Network Cafes Sdn. Bhd. (Social Network), Joy Nandy berkata, sebelum ini semua penjualan produk syarikat dilakukan secara dalam talian tetapi apabila berhadapan dengan masalah, konsep tersebut diubah.

''Perubahan tersebut dibuat selepas saya menggunakan perkhidmatan mesin jualan air dan berfikir kenapa tidak menggunakan cara yang sama untuk menjual pakaian?

''Selepas itu mesin menjual baju-T pertama negara dibangunkan, apabila saya bertemu dengan pembuat mesin tempatan dapat memenuhi permintaan kami,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Social Network menguruskan Social Network Merchandise.com.

Nandy berkata, konsep perniagaan yang menarik itu telah menarik minat syarikat pelaburan untuk melabur sehingga RM1.5 juta untuk mengembangkan model perniagaan ini.

''Kami menyasarkan menjelang 2014 sebanyak 500 mesin akan dibangunkan,'' katanya.

Tambah Nandy, beliau telah bertemu dengan pihak Cathay Cinema untuk meletakkan mesin tersebut di pintu masuk panggung wayang di Kota Damansara.

''Pihak pengurusan panggung wayang itu menyokong konsep baharu dan keusahawanan itu dan mesin tersebut kini menjadi tarikan kepada pelanggan.

''Ekoran kejayaan mesin pertama itu, kami sedang berusaha untuk menawarkan konsep perniagaan tersebut sebagai peluang francais,'' jelasnya.

Nandy berkata, terdapat banyak kebaikan menjual produk melalui mesin berbanding cara tradisional membuka kedai.

''Kita tidak memerlukan kakitangan dan bergerak ke hadapan saya percaya perniagaan tidak dapat lari dari teknologi, automasi, inovasi dan ruang angkasa.

''Kami telah berbincang dengan banyak pusat membeli belah, kolej, gim, hospital dan juga lapangan terbang untuk meletakkan mesin tersebut dan kebanyakan mereka telah menunjukkan minat,'' tambahnya.

Sebarang maklumat lanjut boleh dihantar kepada email friends@socialnetworkmerchandise.com.