Monday, November 28, 2011

Ummi Hafilda lancar portal ‘panas’


KUALA LUMPUR 28 Nov. – Adik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ummi Hafilda Ali akan melancarkan sebuah laman portal yang disifatkannya paling panas pernah diwujudkan di negara ini.

Ahli perniagaan itu berkata,

laman web di alamat www.hafildafamous.com itu diwujudkan sempena memeriahkan Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang akan berlangsung esok hingga 3 Disember ini.

“Idea ini timbul apabila blog saya, Srikandi 7 berjaya mencatatkan jumlah pengunjung seramai 600,000 orang dalam masa tiga minggu selepas dilancarkan Februari lalu.

“Tambahan pula, setiap kali saya mengadakan ceramah politik di seluruh negara, sekurang-kurangnya lebih 2,000 orang menghadirinya,” ujarnya ketika menghubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ummi Hafilda mengakui beliau menggunakan populariti itu untuk mewujudkan laman portal tersebut yang didakwa akan membongkar lebih banyak rahsia pemimpin pembangkang terutama perihal 3A iaitu Anwar, Azmin dan Azizah (Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).

“Menerusi portal itu nanti, lebih banyak ‘bom nuklear’ yang bakal meletus mengoyakkan topeng drama lakonan tiga serangkai itu. Masyarakat perlu kenal watak sebenar di sebalik topeng 3A itu,” ujarnya yang mendakwa bakal mencipta gelombang baru dalam dunia politik tanah air menerusi ceramahnya.

Tambah beliau, selain hal ehwal politik semasa, laman portalnya itu juga akan dimuatkan dengan pelbagai maklumat terutama mengenai rangkaian perniagaan global seperti yang ditawarkan oleh portal popular, www.alibaba.com.

Bukan itu sahaja, beliau turut mengumumkan akan menerbitkan tiga majalah iaitu Hafilda Prestige (isu politik), Hafilda Deco (hiasan dalaman) dan Resipi Glam Hafilda (masakan) dalam masa terdekat.