Thursday, November 24, 2011

Tak Sakit, Boleh Pakai Seluar Selepas Dikhatan


Mohd Syukri Subdin menceritakan bahawa beliau tidak berasa sakit selepas dikhatankan dan proses itu umpama digigit semut sahaja.

Malah kanak-kanak yang berumur 10 tahun itu juga ingin berpesan kepada rakan-rakannya supaya tidak mempunyai perasaan takut untuk berkhatan.

Syukri merupakan salah seorang daripada 17 kanak-kanak lelaki yang dikhatankan beramai-beramai dalam satu Majlis Berkhatan anjuran Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja PKNS (PKP) di Dewan Kemajuan, Kompleks PKNS pagi ini.

Tiada lagi kehadiran Tok Mudim, kanak-kanak tersebut dikhatankan menggunakan kaedah moden terkini, 'smart clamp' iaitu cara paling mudah dan kurang pendarahan. Lebih menarik, selepas dikhatankan, kanak-kanak kelihatan bersahaja dan masih boleh mengenakan seluar.

Seorang lagi kanak-kanak termuda dalam majlis itu, Mohd Afiq Naqiudin, 3 setengah tahun kelihatan ceria dan bersahaja sebaik keluar dari bilik khatan. Malah kanak-kanak comel itu sempat menaikkan ibu jarinya memberi isyarat bahawa segalanya dalam keadaan baik ketika berjalan keluar.

Ayahnya, Mohd Azazi Mohd Yusof, 32 kelihatan terharu dan gembira ketika ditemubual.

"Saya bangga dengan keberanian yang ditunjukkan anak saya. Malah beberapa hari sebelum majlis hari ini, dia kerapkali bertanya dan kelihatan tidak sabar untuk dikhatankan. Sememangnya dia cukup berani, " kata Azazi berkongsi pengalamannya sebagai bapa.

Sementara itu, Pengerusi PKP Lokman Abd Kadir menyatakan bahawa menjadi hasrat persatuan itu untuk menyediakan program-program yang memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli-ahli persatuan, malah kepada ahli keluarga mereka juga.

"PKP dengan sukacita menaja kos berkhatan hampir RM5,000 sementara ahli hanya perlu membayar RM 30 sahaja. Ia diadakan khusus untuk meringani beban kakitangan PKNS serta merapatkan hubungan sesama kita kakitangan PKNS, " kata Lokman dalam ucapan pembukaan majlis.

Seramai 17 kanak-kanak berusia seawal 3 tahun setengah hingga 10 tahun dikhatankan dalam majlis yang kali terakhir diadakan pada 2003 dulu. Majlis yang kembali diaktifkan semula ini dimulakan dengan penyampaian cenderahati kepada kanak-kanak tersebut oleh Timbalan Pengerusi Besar Teknikal PKNS, Ghani Hashim.

Ghani Hashim memberitahu majlis hari ini adalah antara program-program sosial anjuran PKP yang dilaksanakan dari semasa ke semasa dan beliau berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Selain daripada majlis khatan, PKP juga memberi khidmat lain kepada ahli-ahlinya seperti saguhati anak cemerlang, pinjaman melanjutkan pelajaran, takaful berkelompok, lawatan dalam dan luar negara serta pelbagai lagi bantuan lain.