Thursday, November 24, 2011

“Rezeki Lepas Berkahwin Makin Murah” – Noraniza Idris


“Alhamdulilah rezeki selepas berkahwin semakin murah. Suami juga banyak membantu dalam mengaturkan kerjaya seni agar lebih teratur,” akui penyanyi yang terkenal dengan lagu bergenre Etnik Kreatif, Noraniza Idris, 43 ketika ditanya tentang kehidupannya setelah dua bulan bergelar isteri kepada seorang bilal sebuah masjid di Singapura, Jeffri Hudi, 52.

Pelantun lagu hits ‘Awallah Dondang’ ini ditemui pada sidang media program ‘Santai Primadona Noraniza idris 2012′ di Restoran Seri Melayu di sini baru-baru ini.

Tambah wanita yang mesra disapa Kak Ani ini lagi, kehidupannya kini menjadi lebih lengkap dan sempurna dengan adanya kehadiran suami di sisi. Suami bukan sahaja ringan tangan membantu segala perihal seninya malah dalam masa yang sama merupakan penasihat dan pendorong kuatnya agar terus berkarya.

Selain program ‘Santai Primadona’, yang merupakan sebuah program mempromosikan album terbarunya serta pelancongan Malaysia khususnya kepada pelancong Singapura, Kak Ani juga bakal melancarkan single terbarunya, ‘Primadona’ yang akan dipasarkan pada Mei tahun hadapan bersama-sama peminat pada 25 Disember ini di Hotel MSuite Johor Bahru.

Antara lagu yang dimuatkan dalam lagu tersebut adalah lagu ‘Dekatlah Padaku’, nyanyian asal Datuk Sharifah Aini serta beberapa buah lagu nyanyian Allahyarham Rafeah Buang dan Sanisah Huri.

Apa yang menarik, suami Kak Ani turut bertanggungjawab dalam pemilihan enam buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut seperti lagu ‘Perpisahan’, ‘Sejak Ku Bertemu Pada Mu’ dan lain-lain lagi.