Monday, November 21, 2011

Syamsul Pertahankan Trofi Pengarah Terbaik (GAMBAR)



Walaupun kemenangannnya dipertikaikan pada tahun lepas, namun pengarah muda, Syamsul Yusof terus membuktikan kehebatannya dalam bidang pengarahan apabila beliau sekali lagi berjaya merangkul trofi Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) tahun ini menerusi filem KL Gangster.


Syamsul bukan setakat memenangi Pengarah Terbaik, malah filem arahannya itu turut menggondol anugerah Penyunting Terbaik (Syamsul/Hisham Jupri), Penataan Bunyi Terbaik (Hisham Jupri/Rizal Ashreff), Lakon Layar Terbaik (Syamsul Yusof), Pelakon Pembantu Terbaik (Shofi Jikan) dan Filem Box-Office.

“Syukur, Alhamdulillah, ini satu rahmat dari Allah SWT. Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang tak pernah putus asa membesarkan anak yang degil ini. Kemenangan saya mustahil tanpa Rizal Ashreff dan ibu bapa saya. Mereka adalah antara tulang belakang saya.

“Anugerah ini saya tujukan khas buat bapa saya. Saya ingat lagi, masa saya cakap nak jadi pengarah, ayah kurang yakin. Walaupun filem saya dah mencapai box-office, ayah tetap kritik filem dan marahkan hasil kerja saya. Sekarang baru saya tahu kenapa, rupanya dia nak jadikan saya lebih baik,” ujarnya ketika ditemui selepas selesai majlis anugerah.

“Sebenarnya saya rasa kecil sangat di antara Mamat Khalid, Yusry dan pengarah-pengarah yang tercalon. Bagi saya semuanya hebat-hebat. Saya ingat Yusry akan menang sebab nak hasilkan Hikayat Merong Mahawangsa bukan senang.

“Saya sendiri tak mengjangkakan apa-apa atau letakkan harapan yang tinggi untuk menang. Namun, Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya. Dua tahun berturut-turut menang, saya bersyukur sangat,” ujar Syamsul yang akan muncul dengan filem baru pada tahun depan iaitu ‘KL Gangster 2’ dan ‘KL Tak Gangster’.