Friday, November 18, 2011

Projek lembu: PKR tuntut k'jaan dedah kertas kabinet (GAMBAR)


Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli hari ini menuntut kerajaan supaya mendedahkan kertas mesyuarat jemaah menteri berhubung keputusan untuk menganugerahkan projek lembu fidlot kepada keluarga menteri pembangunan wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil.


Rafizi berkata, perkara itu perlu dijelaskan untuk memastikan sama ada Shahrizat terlibat dalam proses menganugerahkan projek berkenaan kepada anggota keluarga menteri itu.

"Dalam kes ini ada terlalu banyak proses buat keputusan di peringkat kabinet, di peringkat kementerian pertanian.

"Keputusan dibuat antara tahun 2006 hingga 2008 termasuk juga pinjaman RM250 juta, semua ini melibatkan kertas kabinet.

"Jadi soalan kami, berapa luaskan penglibatan Datuk Seri Shahrizat Jali dalam proses membuat keputusan itu?," soalnya dalam sidang media di ibu pejabat PKR petang ini.

Tambahnya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada Shahrizat turut terbabit dalam membuat keputusan untuk menganugerahkan projek berkenaan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang diketuai  suami menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail.