Monday, November 14, 2011

MAJALAH LISA, Majalah Gaya Hidup Terbaru di Pasaran (GAMBAR)


Bermula esok (15 November), anda punya pilihan terbaru untuk mendapatkan tip-tip gaya hidup terkini.  HPB Press Holding Sdn Bhd telah melancarkan majalah terbaru LISA, yang berfungsi sebagai platform wanita Melayu muda yang inginkan rujukan gaya hidup lengkap merangkumi skop fesyen, kecantikan, perhubungan, kewangan, undang-undang, kediaman, kesihatan dan teknologi.


Sentiasa dikemaskini mengikut peredaran semasa, LISA Malaysia menyediakan variasi kandungan bagi memperbaiki mutu kehidupan dengan cara moden dan dalam masa yang sama masih berpegang kepada adat budaya dan tradisi masyarakat Malaysia. Bukan setakat itu, LISA juga boleh dijadikan ‘sahabat’ kerana ia turut berkongsi pengetahuan dan keprihatinan selain membimbing pembaca untuk turut sama menjadi wanita berinspirasi.

Menurut Editor Pengurusan Lisa Malaysia, Izza Shafinaz Ibrahim, dia yakin majalah ini mampu menarik minat pembaca dari pelbagai usia dan latar belakang. Ini kerana majalah yang sudah 17 tahun bertapak di Jerman dan 12 tahun di Thailand ini mempunyai pengisian tentang gaya hidup terkini.

“Memang kami mensasarkan golongan pembaca berumur 19 tahun hingga 29 tahun, tetapi apa yang kami paparkan dalam majalah ini bersesuaian untuk pelbagai lapisan masyarakat. Kami cuba tidak menumpukan kepada golongan bandar sahaja, sebaliknya ia juga boleh dijadikan rujukan masyarakat luar bandar.

Untuk edisi pertama ini, kami menampilkan Fazura sebagai penghias muka hadapan. Fazura terpilih kerana personaliti ini sudah agak lama tidak berkongsi cerita tentang perkembangan terbarunya. Kami percaya, ramai peminat Fazura yang ternanti-nantikan cerita daripada pelakon jelita ini. Satu lagi sebab Fazura menjadi pilihan ialah, kami menganggap dia seorang artis eksklusif,” ujar Izza.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hubert Burda Media Asia, Peter Kennedy berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama terbaru itu dan yakin LISA bakal mencatatkan kejayaan di Malaysia sama seperti di pasaran lain.

Majlis pelancaran LISA baru-baru ini dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada pengiklan, agensi, dan juga selebriti tempatan. 10 tetamu bertuah telah membawa pulang pelbagai hadiah menarik yang ditaja oleh Jaspal, Nikon, Guess, Nautica Watch, La Perna dan K.M Oli Mohamed.

LISA Malaysia dijual pada harga RM3.90 dan ia diterbitkan dua kali sebulan.

No comments:

Post a Comment