Wednesday, November 30, 2011

Lawak orang lama tak jadi, memalukan dan membosankan


MEMASUKI saingan minggu kelima program realiti TV, Maharaja Lawak Mega (MRLM), nampaknya persembahan peserta masih berada di zon bahaya.

Meskipun kelompok peserta ini dikategori ‘otai’ kerana banyak pengalaman dalam bidang lakon komedi, ia bukan jaminan pada mereka terus menghiburkan penonton. 
Tiga peserta menduduki tangga bawah dengan kutipan markah terendah ialah Adlin Aman Ramlie, kumpulan Hiro dianggotai Hamdan, Illya dan Ropie serta Saehu dari Indonesia.

Malah antara 10 peserta yang masih bertahan, persembahan peserta pada minggu lalu dinilai sangat mengecewakan. Penilaian itu dibuat salah seorang juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang mengatakan persembahan semua peserta pada minggu kelima dilihatnya sangat menurun.

Berdepan cabaran tema purbakala, kata Chef Wan, fokus peserta banyak tertumpu pada kostum berbanding kandungan jenaka yang ingin dipersembahkan.

“Adlin seorang yang berbakat besar, tetapi bila dia asyik berlawak dengan menyebut kisah bapanya, membuatkan penonton hilang rasa minat untuk tengok. 

“Jenakanya pada minggu sebelumnya menggunakan elemen agama seharusnya ditolak ke tepi. Ini termasuk idea berlawak membawa maksud ‘double meaning’ perlu dielakkan. 

“Begitu juga peserta Hiro, berdepan risiko apabila persembahan mereka dari mula hingga akhir, tidak lucu. Saya fikir peluang harus diberikan pada Adlin untuk terus membuat persembahan pada minggu depan termasuk Saehu yang masih menunjukkan persembahan bagus pada setiap minggu,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas siaran langsung MRLM berakhir di Dewam Teater Diraja, Shah Alam, Selangor, Jumaat lalu. 

Chef Wan yang dilihat memberikan komen secara jujur, sering mendapat respon ‘boo’ penonton termasuk ketika mengkritik persembahan Hiro. Bagaimanapun, Chef Wan harus dipuji kerana bertindak profesional dan tidak cepat melatah dengan situasi itu sebaliknya memahami sikap penonton yang mempunyai tahap pemikiran berbeza. 

“Seperti orang Barat, maruah mereka runtuh kerana terlalu berfikiran terbuka hingga membenarkan seks bebas dan tidak menghormati satu sama lain. 

“Merujuk pada persembahan minggu kelima, mungkin tema yang diberikan dianggap cabaran besar pada peserta. Setiap pelawak mempunyai cara dan topik kegemaran sendiri, tetapi mereka harus mencabar diri untuk menghiburkan penonton,” katanya. 

Dalam pada itu, Chef Wan juga memberi ingatan kepada kumpulan BP (Bawal Power) yang dianggotai Husni Mohd Rawi (Bob Kuman) dan Mohd Sobri Anuar Mohd Tarmizi. 

Jika minggu sebelumnya, Sobri menggunakan nama Zaiton Sameon sebagai bahan lawak, kali ini dia bertindak membalas dendam pada satu laman pojok di satu akhbar yang mengkritik persembahannya itu. 

“Dia sepatutnya lebih profesional tanpa mengaibkan sesiapa. Memang pada diri sendiri dianggap jenaka tetapi cuba fikir apa perasaan keluarga individu terbabit jika menonton persembahan itu. 

“Sepatutnya, jika ada perkara peribadi seperti mahu membalas dendam terhadap media, ia tidak digunakan sebagai bahan persembahan kerana memang tidak sesuai,” katanya. 

Kritikan Chef Wan terhadap BP pada minggu lalu lebih pedas apabila dinilai mengarut sehingga beliau sendiri tidak faham jalan cerita yang ingin disampaikan. 
Merujuk pada persembahan peserta lain, gandingan Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik menganggotai kumpulan Boboi paling menyerlah dan mendapat sorakan gemuruh penonton. 

Mereka mempersembahkan jenaka dengan meniru gaya filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) yang cukup menghiburkan walaupun Afdlin menggunakan subjek terung yang membawa ‘double meaning’. 

Juri jemputan, penyanyi Jatt dari kumpulan Black Dog Bone juga memuji persembahan kumpulan 3G dianggotai Yassin, Didie Alias dan Enot yang dianggap persembahan kedua terbaik tetapi Chef Wan berpandangan, penonton berasa bodoh dengan jenaka mereka. 

Pelawak popular, Mohd Yusof Abdul Hamid (Mr Os) bersama Sharizan Ahmad (Abon) mewakili kumpulan Osbon turut mendapat sokongan penonton menerusi jenaka lelaki Jawa bertukar suara dialek Kelantan atas bantuan jin dilakonkan Mr Os. 

Juri tetap, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin juga memberi sokongan pada kumpulan Saehu selepas terselamat dari tersingkir. Beliau menyatakan jenaka yang disampaikan masih mempunyai kekurangan untuk difahami penonton tetapi masih menunjukkan usaha yang terbaik. 

Hiro yang dianggotai dua bekas pelawak Senario, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli (Hamdan) dan Ilya Buang Shaharum (Illya) bersama Zahid Tajuddin (Ropie), diumumkan tersingkir selepas mendapat undian paling rendah iaitu 37 peratus. 

Bekas pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan turut bertindak sebagai juri tetap, memuji idea lawak Hiro menggunakan watak orang kerdil yang dianggapnya bagus tetapi jalan cerita dinilai amat mengecewakan. 

Bagi Ilya, persembahan terakhir mereka tidak mencapai tahap keyakinan sepenuhnya kerana masih mencari bahan jenaka yang memenuhi kehendak penonton. 

“Ada peserta lebih fokus aspek fizikal dan kurang pada kandungan lawak tetapi disukai penonton. Sebaliknya apabila kami mencuba cara begitu, ia gagal. 

“Saya sebenarnya bukan pelawak tetapi ketika kami menceburi program Sinaran Pasport Kegemilangan, kami terpaksa teruskan berlawak kerana ketika itu komedi menjadi platform untuk kami berlakon. 

“Berlakon komedi suatu yang beza dengan komedi di pentas. Memang tekanan sering dirasakan ketika mula ditawarkan sertai program ini. Namun, kami fikir tidak salah mencuba walaupun kami tahu keupayaan sendiri,” katanya. 

Ropie pula berkata, tiada istilah untuk menamatkan karier sebagai pelawak meskipun tersingkir dari program ini. 

Hamdan juga menyatakan tawaran berlakon masih tidak putus. 

Atas pelbagai komitmen masing-masing, mereka juga berdepan masa terhad untuk berbincang mengenai persembahan untuk program ini. 

Sementara itu, Saehu mendapat 42% undi begitu juga Adlin dan BP sementara Bawel dan Syok masing-masing mendapat 45%. Kumpulan Osbon, Pi Mai dan 3G berada dalam keadaan selamat dengan undian 52%, 55% dan 56% manakala Boboi mencatat undian paling tinggi dengan 64%.