Wednesday, November 2, 2011

Kumpulan Search nafi jadi rocker senja (GAMBAR)


 SUKAR untuk sebuah kumpulan bertahan lama sehingga 30 tahun, namun Search berjaya membuktikan mereka masih boleh bersatu apabila perlu walaupun Amy kadangkala bergerak solo.

Nama Search sendiri sudah cukup besar dan kukuh di rantau Asia Tenggara sebagai sebuah kumpulan rock legenda.

Pada 2011 ini pun anggota Search tetap ligat di pentas dan mereka terus diundang menjayakan siri konsert di seluruh Malaysia. Ini sekali gus membuktikan Search bukannya rocker yang sudah longlai dan memasuki zaman senja.

Terbaru, sebagai penghargaan terhadap sokongan peminat setia, Search akan menjayakan tiga siri jelajah konsert besar-besaran dikenali Konsert Fenomena 30 Tahun Search.

Search yang memiliki lebih 25 album studio dan ‘live’ akan membuka aksi pentas bermula di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 19 November ini.

Dua lokasi menyusul pada 3 Disember di Stadium Larkin, Johor Bahru sebelum beraksi di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 17 Disember.

Search dianggotai Amy selaku vokal, Kid (gitar), Din (gitar), Nasir (bass) dan Yazit (dram).

Kata Amy ketika ditemui baru-baru ini, konsert tiga lokasi mengembalikan nostalgia peminat merindui zaman konsert rock kapak yang mendapat tempat di hati generasi muda satu ketika dulu.

“Sudah tentu kami masih ingat pada setiap konsert terbuka kami termasuk di ‘funfair’. Apapun, konsert Fenomena 30 Tahun Search adalah konsert terbaik pernah kami adakan berbanding konsert lain yang pernah diadakan.

“Ada antara mereka membesar bersama lagu Search kini bergelar golongan profesional. Ini sudah tentu membuat kami berasa bangga kerana lagu kami diterima baik dari dulu hingga sekarang dan ada generasi baru juga memainkan lagu Search ketika membuat ‘jamming’ mereka.

“Apa disajikan pada konsert Fenomena 30 Tahun Search bukan sekadar persembahan biasa. Ini konsert terbaik terutama pencahayaan dan kualiti bunyi lebih padat.

Sesi prakonsert menyajikan pelbagai tarikan menarik. Peminat boleh memenangi sebuah kereta di setiap lokasi dan ribuan minuman percuma disediakan untuk peminat,” katanya pada sesi latihan Search di BSync Studio di Robson Heights, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert Fenomena Search 30 Tahun juga menandakan kemuncak zaman peralihan Search. Mereka menubuhkan syarikat rakaman sendiri dikenali Go-Search dan merakam album terhebat mereka bertajuk Fenomena pada 1989.

Album itu turut memuatkan lagu hit Isabella yang menjadi album pertama Search dalam bentuk cakera padat (CD) selepas versi kaset.

Album Fenomena juga pernah terjual lebih 220,000 unit di Malaysia dan lebih 600,000 unit di Indonesia. Lagu Isabella muncul pemenang Lagu Terbaik dan Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 1989.

Malah, Amy turut berlakon dalam muzikal Fenomena dan drama cinta, Isabella yang diilhamkan daripada lagu terbabit.

Search pernah mendapat sokongan karya Klaus Meine vokalis Scorpions untuk album Rock ‘N’ Roll Pie pada 1996. Search menghasilkan album pertama, Cinta Buatan Malaysia bersama Man Kidal dan Yan sebagai bass.

Kata Kid, konsert tiga lokasi itu membabitkan penyampaian 20 lagu terbaik tanpa sebarang medley.

“Kami berbincang dan bersepakat mahu menyampaikan lagu penuh tanpa medley.
Pendekatan ini dapat memberi kepuasan mendengar tanpa gangguan masuk ke frasa lagu lain yang mengganggu fokus,” katanya.

Nasir berkata, konsert akan dihidangkan dengan produksi dijamin bermutu. Oracle Accord mengimport jurutera Jepun, Yamaguchi pernah terbabit dalam dalam konsert bertaraf antarabangsa seperti konsert Black Eyed Peas.

“Konsert ini seperti festival kerana peminat akan merasakan kehangatan rock selama tujuh jam bermula jam 5 petang.

“Lebih menarik, beberapa kumpulan rock berpengalaman akan muncul sebagai ‘opening-act’ selain Datuk M Nasir. Konsert ini adalah hadiah kami untuk peminat dan kami berjanji memberi persembahan penuh gegaran untuk anda semua,” katanya.

Tiket menyaksikan konsert Fenomena 30 Tahun Search berharga RM59 untuk Pulau Pinang dan Larkin manakala tiket di Petaling Jaya berharga RM69.

Tiket boleh dibeli di cawangan Petronas mengambil bahagian, Rock Corners dan wakil jualan sah tersenarai dalam www.tickethotline.com.my dan peminat juga boleh melayari laman rasmi konsert Search di faceboook (fb).

No comments:

Post a Comment