Oktober lalu seakan satu ‘tragedi Oktober’ buat wanita jelita berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini apabila dihimpit ‘serangan’ pelbagai penjuru rentetan krisisnya dengan aktres Didie Alias seterusnya konfrontasi dia dengan Gambit Saifullah dan Sharifah Sakinah.
“Selepas apa yang terjadi, hidup saya kini ternyata lebih indah. Segala yang terjadi saya sifatkan sebagai satu masalah sampingan. Semua orang ada masalah, siapa yang tidak ada masalah kan?”,
“Begitu juga buat seorang public figure seperti saya, pastinya terpalit sedikit benda negatif seperti ada orang kutuk dan cuba jatuhkan kita, tapi saya rasa smua itu adalah standard, tiada hal punyalah. Perkara biasa yang akan terjadi kepada setiap manusia,” ujar Julia ketika ditemui sempena pelancaran program AirAsia Travelog di Bangsar village Rabu lalu.
Sambil mengimbas kembali momen ‘hitam’ yang berlaku terhadapnya itu, Julia menegaskan apa yang dilakukannya adalah untuk menegakkan kebenaran kerana dikhianati dan terjebak dalam dilema kawan makan kawan.
Namun baginya episod itu sudah berlalu dan dia kini ingin mara ke hadapan, buang segala yang kusut jauh dari mindanya dan mahu fokus pada karier sambil menjalani kehidupan mendatang sebaik mungkin.
Terbaru dia bakal muncul sebagai tetamu jemputan dalam salah satu episod program Travelog AirAsia yang akan bersiaran bermula 20 november ini di TV3.
Rancak bercerita mengenai pengalamannya berpeluang melancong selama empat hari di Taipei, Taiwan bersama hos Edd Razhe dan kru produksi, Julia nyata teruja berkongsi momen-momen berharganya di Taipei dan mengakui tertarik pada budaya dan cara hidup masyarakat di sana.
“Salah satu keistimewaan Taipei yang tidak mungkin saya lupa adalah sifat kaum wanitanya di sana yang kaya dengan kesantunan dan ciri-ciri ketimuran yang sangat tinggi. Pertuturan mereka sangat sopan santun dan saya rasa inilah ciri ketimuran yang perlu kita ada, perlu kita ikut,” kongsi Julia.
Tambah Julia lagi, melancong merupakan salah satu minatnya dan berharap sekiranya berpeluang dia ingin melancong ke India, Monaco, Sri Lanka, Acheh serta negara-negara miskin yang tidak ada teknologi kerana baginya melalui melihat kesusahan masyarakat di sana dia lebih menghargai hidup.
Bercerita mengenai perkembangan seninya pula, Julia baru sahaja selesai shooting filem produksi Malaysia-Indonesia, ‘Crazy Crazy Crazy’ bergandingan dengan Pierre Andre, telemovie Astro, ‘Suka Kamu’, dan kini sibuk shooting drama ‘Madu’ arahan Eirma Fatima.
Selain itu, dia juga sedang menanti beberapa buah filem lakonannya yang akan ditayangkan dalam masa terdekat seperti ‘Tokak’, ‘Man Sewel Datang KL’ dan ‘Ombak Rindu’.