KUALA LUMPUR, 15 NOVEMBER 2011: Selepas tujuh tahun melalui kehidupan sebagai duda, penyanyi Biso Bonar, Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin,47, akhirnya telah menamatkan zaman solo dengan mengahwini seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Farah, pada tanggal 11 November lalu.
Bercakap kepada portal murai.com.my, Hattan berkata semuanya bermula ketika mereka sama-sama dipertemukan oleh takdir di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha yang ketika itu dia baru saja pulang dari menunaikan Umra pada penghujung Jun lalu.
"Mungkin ini sudah ditentukan Tuhan. Ketika menunaikan Umrah, saya sering berdoa kepada Allah supaya dipertemukan dengan seorang isteri kerana sudah terlalu lama hidup bersendirian.
"Alhamdulillah, ketika di Doha kebetulan saya telah bertemu dengannya (Farah). Manakala dia pula ketika itu, baru saja pulang dari London. Di situlah bibit pertemuan kami bermula.
"Inilah yang dinamakan takdir Tuhan. Saya sukakan dia kerana dia cukup 'fantastic' buat saya dan dia memiliki sifat-sifat keibuan serta disiplin yang kuat sebagai seorang wanita yang saya idamkan selama ini," jelasnya dengan nada gembira.
Hattan berkata, majlis akad nikah telah berjalan dengan selamat dan bercadang untuk mengadakan majlis resepsi di ibu negara selepas mereka berdua pulang dari kota London, tidak lama lagi.
Bercerita mengapa pemilihan tanggal 11 November 2011 (11.11.2011), jelas Hattan semuanya secara tidak sengaja dan kebetulan pula dia memang mengidamkan untuk menamatkan zaman solonya pada hari Jumaat bagi mengambil berkat hari berkenaan.
Hattan sebelum ini pernah mengahwini Arianie Mohd Abdidin, 40, dan bercerai sejak tujuh tahun lalu dengan meninggalkan seorang cahaya mata Adam Eiman, 13.