Tuesday, November 15, 2011

Apabila Anuar Zain semakin dipinggirkan


KUALA LUMPUR, 14 NOV 2011: Murai Batu dengar macam-macam cerita mengenai Anugerah Industri Muzik (AIM 2011) yang berlangsung malam Sabtu lalu. Ada baik dan kurang juga sampai ke telinga Murai Batu.

Tapi biasalah dalam mana-mana anugerah pastinya akan ada kekurangan yang tak dapat diatasi.


Namun semua itu bukanlah satu perkara yang asing kerana dalam mana-mana acara besar seperti AIM senario begini sering berlaku.

Cuma yang Murai Batu nak tegur di sini ialah mengenai kejadian ketika sidang media yang mana beberapa teman Murai Batu terkejut dengan sikap penganjur yang tidak sensitif.

Secara umum, semua tahu bahawa pemenang AIM 2011 telah didominasi oleh Yuna menerusi dua buah trofi serta satu anugerah khas (Anugerah Kembara), manakala Najwa turut membawa pulang dua trofi, Anuar Zain (dua trofi) serta Datuk Shiela Majid memenangi satu anugerah iaitu album terbaik.

Pastinya keempat-empat artis ini dinanti di dalam bilik sidang media bagi memudahkan pihak wartawan menemuramah mereka.

Sidang media bermula dengan hanya tiga orang artis iaitu, Yuna, Shiela Majid dan Najwa bersama-sama orang kuat pihak penganjur.

Ketika sidang media sibuk berjalan, penyanyi Anuar Zain muncul di depan pintu acara yang juga amat dekat dengan tiga artis tadi sedang duduk ditemubual.

Mungkin Anuar Zain terlewat kerana diberitahu lambat dan sebagainya. Itu yang Murai Batu dengarlah.

Namun khabarnya, selama beberapa minit Anuar Zain berdiri terpacak di bilik berkenaan, tiada langsung wakil penganjur memperkenalkan kehadirannya di sidang media berkenaan.

Jauh sekali untuk menjemputnya turut serta dan duduk bagi ditemubual atas kemenangannya sehinggalah Anuar Zain mengambil keputusan untuk beredar setelah merasainya dirinya tidak diendahkan.

Jelas teman-teman Murai Batu, memang 'pelik bin ajaib' bagaimana pihak penganjur boleh buat tak endah pada Anuar Zain, seolah-olah tidak nampak kehadirannya. Bagi Murai Batu kejadian tersebut memang tidak sepatutnya berlaku.

Ada yang datang berbisik berkata penganjur hanya mahu pemenang album terbaik dan lagu terbaik sahaja berada di sidang media. Kalau begitu mengapa Najwa juga yang memenangi dua kategori iaitu Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik turut berada di dalam bilik berkenaan?

Bagi Murai Batu, kehadiran Anuar sememangnya diperlukan, memandangkan dia juga mendominasi dua kategori penting iaitu Lagu Pop Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) sama seperti Najwa yang memenangi dua anugerah.

Malah Murai Batu juga yakin kehadiran Anuar pada sidang media tersebut atas jemputan pihak penganjur. Kerana Anuar selalunya amat jarang berada di sidang media sekiranya tak dijemput.

Murai Batu nak menegur kejadian tersebut bukan kerana ianya berlaku pada Anuar Zain, sebaliknya kalau berlaku pada artis lain atau pada Najwa pun Murai Batu memang merasakan kejadian tersebut tak sewajarnya berlaku.

Malah perkara tersebut juga menyusahkan pihak media kerana terlepas daripada menemuramah Anuar Zain. Hanya dua atau tiga media yang tidak memasuki sidang media berjaya bertemu dan meminta komen kemenangannya sebelum beredar. Mujur temuramah tersebut diberi dan dikongsi bersama teman lain.