Tuesday, November 15, 2011

Eksperimental komedi sulung Syamsul (24 GAMBAR)

TIGA sekawan. Dari kiri: Shaheizy Sam, Scha Al-Yahya dan Syamsul.

SEBAGAI seorang pengarah muda yang berumur 27 tahun, Syamsul Yusof memang terkenal dengan sikapnya yang gemar mencuba perkara yang lari daripada kebiasaan yang dilakukannya sebelum ini.

Jika sebelum ini, filem seram pertama arahannya, Khurafat berjaya menduduki senarai pecah panggung, kini Syamsul mengambil langkah berani untuk mencuba genre yang jauh berbeza daripada apa yang dilakukannya iaitu filem romantik komedi.

Sememangnya ia genre yang jelas berbeza dengan sebelum ini. Syamsul sebelum ini lebih banyak menggarap filem-filem berbentuk aksi.

Namun ingin memberi kelainan dan mencuba sesuatu yang baharu, dengan menggembleng tenaga bersama bapanya yang bertindak sebagai penulis skrip, Syamsul mengambil inisiatif untuk melangkah ke fasa baharu di dalam karier pengarahan dan juga lakonan.

Filem bergenre romantik komedi ini diberi judul Aku Bukan Tomboy yang menampilkan Scha Al-Yahya diangkat sebagai pelakon utama sebagai seorang tomboi serta bergandingan dengan dua orang jejaka yang merupakan pelakon berbakat, Shaheizy Sam dan dirinya sendiri.

“Filem Aku Bukan Tomboy sangat istimewa kerana ini merupakan kerjasama pertama saya bersama ayah. Idea asal filem ini datangnya daripada ayah saya namun dibuat pengolahan semula untuk menjadikan ia lebih mudah dan tidak terlalu berat untuk tatapan penonton.

“Sebagai pembikin filem, saya harus yakin dengan apa yang saya lakukan dan bagi saya, ia merupakan filem romantik komedi yang lain daripada yang lain,” tutur Syamsul semasa sidang akhbar majlis pratonton yang bertempat di panggung Golden Screen Cinemas (GSC), Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ini merupakan filem keenam arahan Syamsul di bawah terbitan syarikat produksi bapanya sendiri iaitu Skop Productions selepas Evolusi KL Drift, Bohsia…Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2, Khurafat serta KL Gangster.

Sementara itu, sebagai penerbit dan juga bapa kepada pengarah muda ini, Datuk Yusof Haslam menyokong tindakan berani anaknya itu dalam percubaan komedi sulung yang ingin tampilkan kelainan dan lari daripada filem-filem komedi yang ada.

Mengenai penghasilan skrip pula, cerita Yusof, kebanyakan filem-filem yang dihasilkannya sebelum ini adalah melalui pengupasan dari zaman yang telah dilaluinya.

“Paksi cerita ini tidak lari daripada apa yang saya gambarkan, namun, ingin menyesuaikan dengan keadaan dan zaman kini, Syamsul telah mengolah bagi mencantikkan lagi perjalanan cerita di dalam filem ini,” tuturnya mengenai penghasilan skrip filem Aku Bukan Tomboy ini.

Ditebak persoalan mengapa membuat keputusan untuk mengeluarkan filem berkisar kehidupan seorang tomboi, jawab penerbit Skop Productions ini, fenomena tomboi telah banyak berlaku di dunia hari ini, namun filem ini bukanlah ingin memperlekehkan mana-mana pihak yang terlibat.

“Jauh sama sekali jika dikatakan kami ingin memperlekehkan mana-mana pihak. Tujuannya adalah kita ingin memberi mesej kepada masyarakat bahawa jangan kita memandang serong seseorang yang berperwatakan begini melalui luaran mereka walaupun pada zahirnya mereka kelihatan seperti lelaki.

“Di samping itu juga, kita ingin mengupas isu-isu semasa yang berlaku kini dan dari situ semoga penonton dapat memikir di mana mesej yang boleh diambil di dalam filem ini,” ujar Yusof.

Apa yang pasti, menurut Syamsul, ini bukan merupakan filem komedi terakhir daripadanya kerana dia masih lagi akan berusaha menghasilkan filem genre begini di masa akan datang dan juga berkemungkinan Aku Bukan Tomboy akan ada sambungannya jika filem ini mendapat sambutan ramai.

Filem Aku Bukan Tomboy mengisahkan tentang si gadis tomboy yang dibesarkan oleh bapanya selepas kehilangan ibunya sejak kecil. Di sebalik hati seorang gadis tomboi ini, dia turut menyimpan hati terhadap seorang lelaki, sama seperti perempuan normal yang lain. Akhirnya, tanpa disedari dia berada dalam percintaan tiga segi di antara dua jejaka iaitu Harry dan Burn.


Selain Scha, Sam dan Syamsul, filem yang akan menemui penonton di pawagam tanah air pada esok 17 November ini turut menampilkan lakonan Harun Salim Bachik , Eira Syazira, Sheera Iskandar, Salina Saibi dan Zarina Zainordin.