SIBUK! namun majlis resepsi yang sudah dirancang harus dijalankan. Itulah keadaan membelenggu pasangan Azad Jazmin dan Eira Syazira yang masih di lokasi menjelang hari bersejarah mereka pada 18 November ini.
Eira baru saja menghabiskan penggambaran drama bersiri Dingin Lavender di Melbourne, Australia begitu juga Azad sibuk dengan komitmennya di lokasi.
Katanya, dia tidak dapat meminta cuti kerana memegang watak utama dalam drama bersiri itu dan penggambaran perlu diselesaikan supaya dapat disiarkan di TV3 menerusi slot Zehra bermula 2 Disember ini.
“Bayangkan, saya hanya mendapat cuti sehari pada 18 November dan keesokannya, saya kembali bekerja seperti biasa.
“Saya bersyukur kerana dibantu perancang perkahwinan begitu juga keluarga yang banyak membantu dan memahami kesibukan saya.
“Sepanjang berada di Melbourne, saya hanya berkomunikasi melalui telefon sekiranya ada perkara yang ingin saya sampaikan atau mereka ingin bertanyakan sesuatu kepada saya.
“Saya juga meminta jasa baik mereka untuk melepaskan saya pada hari ini untuk mengedarkan kad undangan perkahwinan kepada rakan media.
“Saya gunakan peluang ini untuk menghantar sendiri kad kepada media dan juga sahabat handai,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Harian Metro, Isnin lalu.
Mengenai majlis resepsi pada 18 November ini, Eira memilih kontemporari Melayu Inggeris, menggabungkan dua budaya berlainan dalam satu majlis sederhana.
Konsepnya urban tapi Eira masih mahu mengekalkan konsep tradisional kerana tidak mahu dikatakan lupa akan asal usul.
Majlis resepsi di pihak Azad pada 26 November di Pulau Pinang bertemakan Bollywood.
Kata Eira, tema itu sengaja dipilih untuk kelainan kerana ia jarang dijadikan sebagai tema majlis. Ia juga sesuai dengan identiti Azad sebagai anak mami.
Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 16 September lalu selepas tiga tahun menyulam cinta.
Dinikahkan sendiri ayah Eira, Shuhaimi Acheh, Azad yang terkenal menerusi filem Kongsi dan Ngangkung sah menjadi suami Eira dengan sekali lafaz sambil disaksikan Imam Besar Masjid Putra Jakim Putrajaya, Abdul Manaf Mat.
Eira menerima sembilan dulang hantaran berbalas 11 yang ditaja sepenuhnya Zaha Wedding Planner dan Ari Wedding Couture.
Kata Eira, walaupun sudah bergelar isteri, dia kini terpaksa membahagikan masa antara keluarga dan karier.
Akui Eira, kerjaya mereka sebagai pelakon membuatkan mereka saling memahami kesibukan masing-masing dan tidak menjadi punca bermasam muka.
Mengenai bulan madu, Eira atau nama sebenar, Syazira Shuhaimi mengakui kerana kesibukan juga hingga kini mereka masih tidak mempunyai peluang untuk berbulan madu.
“Insya-Allah, bulan depan kami akan berbulan madu di Melbourne dan Gold Coast, Australia. Selepas membuat penggambaran di Melbourne, saya sangat tertarik dengan tempat itu kerana ia sangat cantik.
“Destinasi percutian itu wujud hanya selepas saya berada di sana untuk bekerja.
Gold Coast pula pilihan Azad,” katanya.
Mengenai wataknya dalam Dingin Lavender, Eira memegang watak Janah, wanita muslimah yang melanjutkan pelajaran di luar negara. Ia berkisar kisah percintaan tiga segi antara sahabat dan memerlukan dia bertudung dalam drama itu.