Sunday, November 27, 2011

Cinta Muka Buku Tewaskan Pokok Hazama


Lagu nyanyian Najwa Latif iaitu Cinta Muka Buku mengejutkan ramai pihak apabila terpilih sebagai Top 5 mengenepikan calon favourite Pokok oleh Meet Uncle Hussein feat Nubhan di pusingan kedua separuh akhir Muzik Muzik 26 yang berlangsung malam tadi.

Turut terpilih dalam senarai ialah lagu Kekanda Adinda nyanyian Monoloque dan Atilia, Cinta Teragung nyanyian Juara AF9, Hazama, Sungai Lui (Aizat) dan Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol).

“Saya memang tidak menyangka apabila mendapat peluang keemasan ini. Saya cuma mengharapkan dapat membuat persembahan yang baik. Lebih menggembirakan saya apabila dapat membuat persembahan bersama barisan penyanyi yang berpengalaman.” tutur Najwa yang baru sahaja berusia 16 tahun dan sekiranya terpilih ke AJL26 bakal mencipta sejarah antara penyanyi termuda ke pertandingan tersebut.

“Ini kali pertama saya ke AJL sebagai finalis dengan lagu sendiri. Pastinya saya gembira. Dapat masuk dalam senarai Top 5 juga sudah memadai. Namun saya agak terkejut juga apabila lagu Pokok tidak tersenarai bersama kami.” tambah Hazama yang menafikan Nubhan penyebab lagu Pokok gagal mendapat tempat.

“Bila di belakang pentas, saya gembira bila baca timeline Twitter ramai yang meramalkan lagu Kekanda Adinda ada harapan untuk terpilih. Memang nervous juga kerana lagu kami disebut paling akhir kerana kami dah anggap lagu Pokok yang akan dapat peluang. Syukur Alhamdulillah, rupanya lagu kami.” terang Atilia mengenai keputusan mengejut tersebut.

“Memang semua lagu popular dan peluang untuk lagu kami terpilih sama rata. Kami memang jangkakan Pokok tersenarai tapi malangnya tidak dapat. Tak per lah, takde rezeki mereka.” tambah Monoloque.

Sementara itu, Aizat dan Projek Pistol turut bersyukur terpilih namun masih terkejut.

Persaingan bertambah sengit bagi merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu 26 pada minggu hadapan apabila dua lagu yang mencetuskan kontroversi di Anugerah Industri Muzik 18 baru-baru ini iaitu Penakut nyanyian Yuna dan Sedetik Lebih (Anuar Zain) akan turut beradu kehebatan sekali lagi.

Turut bersaing antaranya lagu Kalau Berpacaran (Shohaimi Mior Hassan/Ana Raffali/Altimet), Bila Bertemumu (Shiha), Cinta Matiku (Sixth Sense), Karma (Faizal Tahir), Menyesal (Sixth Sense) dan Aku Permata (Salma).