Thursday, November 3, 2011

Baik robohkan saja bangunan Highland Towers (GAMBAR)



AMPANG: Lebih baik dirobohkan daripada dibiarkan begitu saja. Itu luahan rata-rata penduduk yang tinggal di sekitar Taman Hillview, di sini, berhubung dua blok Highland Towers yang masih tinggal selepas tragedi runtuhan Blok 1 pada Disember 1993.


Tinjauan Metroplus di lokasi pangsapuri mewah itu mendapati dua blok yang masih tinggal iaitu Blok 2 dan 3 masih kelihatan dalam keadaan baik walaupun hampir kesemua bahagian bangunan berkenaan sudah berkulat berikutan ditinggalkan kira-kira 18 tahun lalu.

Selain itu, tumbuhan menjalar turut ‘menghuni’ dua blok pangsapuri berkenaan yang semakin dimakan usia termasuk keadaan sekeliling blok itu yang sudah boleh dikatakan sebagai hutan kerana dilitupi dengan tumbuhan dan pokok.

Bagi seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Robert, 57, dua blok yang masih ada pernah dijadikan ‘port’ penagihan dadah beberapa tahun lalu namun masalah itu selesai selepas penduduk taman perumahan berkenaan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, pemantauan pihak berkuasa kerap dilakukan di kawasan terbabit kerana bimbang berlakunya gejala tidak sihat termasuk mungkin berulangnya gejala penagihan dadah di sekitar kawasan tinggalan itu.

“Mengapa perlu dibiarkan lagi dua blok itu. Pada pandangan saya, memang kawasan ini tidak akan dimajukan berikutan tragedi yang pernah berlaku termasuk beberapa faktor lain seperti struktur tanah yang mungkin tidak stabil.

“Selain itu, lebih baik jika pihak yang berkenaan memasang pagar sementara di sekeliling kawasan pangsapuri ini bagi mengelakkan daripada diceroboh oleh individu tertentu yang mungkin mempunyai niat tidak baik sekali gus menghalang aktiviti tidak sihat,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, Taman Hillview termasuk tapak Highland Towers itu memang di bawah pengawasan pihaknya namun sehingga kini status bangunan berkenaan masih tidak diketahui.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak mendapat sebarang arahan sama ada daripada kerajaan mahu pun pemaju untuk merobohkan bangunan berkenaan kerana kuasa itu masih terletak di bawah pemaju pangsapuri berkenaan.

“Selalunya, jika ada proses merobohkan bangunan, pemaju akan berjumpa dengan kita ataupun pihak polis kerana ada prosedur tertentu yang perlu dipatuhi tapi sehingga kini kami tidak mengetahui status bangunan berkenaan,” katanya ketika ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment