Thursday, October 27, 2011

Wahai Zamby ! Siapa dalang pencerobohan Hutan Simpan Kekal Chikus ? (8 GAMBAR)

Orang Asli diugut dengan senjata api, gari

Penduduk Orang Asli suku kaum Semai, di Perkampungan Orang Asli Palawan, Sungai Manik di Teluk Intan kesal dengan tindakan pegawai Jabatan Perhutanan Negeri yang didakwa membawa senjata api dan gari ketika berunding dengan mereka mengenai status tanah berkenaan pada Isnin.


Tok Batin, Apong a/l Bah El, 45, berkata perkara itu berlaku ketika kira-kira 10 anggota jabatan itu berunding dengan penduduk kampung yang meneroka tanah di pinggir Hutan Simpan Kekal Chikus untuk menanam sayur-sayuran dan sawit.

"Mereka tidak membenarkan kami meneroka kawasan itu yang telah diluluskan untuk tanaman herba. Kami pula terpaksa meneroka (hutan ini) kerana tiada lagi kawasan untuk kami bercucuk tanam... kami masih memerlukan hutan rayau untuk mencari rezeki," katanya kepada pemberita di Teluk Intan, semalam.

Beliau berkata anggota Jabatan Perhutanan Negeri melarang masyarakat Orang Asli bercucuk tanam di kawasan itu tetapi pada masa sama mereka "membutakan mata, memekakkan telinga" apabila ada pihak lain mengusahakan tanaman betik, limau, kelapa sawit berskala ladang serta penternakan itik di situ.

Apong turut mempersoalkan tindakan pilih kasih itu.

Halang Orang Asli

Tinjauan Bernama di kawasan hutan seluas 4,000 hektar itu mendapati sebahagian besar hutan telah dibersihkan dan diusahakan dengan tanaman sawit.

Sebahagian jalan di dalam kawasan hutan diletakkan dengan batang kayu, longgokan tanah dan lubang-lubang dipercayai bagi menghalang penduduk Orang Asli melalui kawasan ini.

ADUN Sungai Manik Datuk Zainol Padzi Paharuddin berkata beliau dimaklumkan mengenai insiden berkenaan semalam.

"Saya terkejut dengan tindakan kakitangan jabatan terbabit yang membawa senjata api dan gari ketika berunding sedangkan ia tidak perlu," katanya.

Zainol Padzi, yang juga exco kerajaan negeri, berkata masalah penduduk Orang Asli itu telah dibawa kepada Yayasan Bina Upaya dan permohonan telah dikemukakan agar sebahagian hutan simpan itu dibenarkan bagi kegiatan pertanian penduduk Orang Asli di situ.

Katanya walaupun permohonan tanah itu diluluskan semasa mesyuarat exco kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan Negeri menghalang kelulusan itu dengan alasan Hutan Simpan Chikus akan dijadikan tapak kajian pelbagai jenis tumbuhan.

"Tetapi apa yang kita lihat hari ini, ia dikuasai sesetengah pihak yang menanam pelbagai jenis tumbuhan untuk mengaut keuntungan," katanya.









- Bernama

No comments:

Post a Comment