Monday, October 10, 2011

Siren tangani moral remaja

Gambar hiasan

'Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011' kupas isu, cari penyelesaian 

SETIAP anak yang dilahirkan, ibu bapa yang mencorakkan sama ada menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Hadis Rasulullah SAW itu menunjukkan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam membentuk dan mendidik generasi akan datang untuk menjadi insan berguna kepada bangsa serta negara.



Hakikatnya, keluarga menjadi unit asas membentuk masyarakat yang hebat dan cemerlang, seandainya keluarga itu pincang, maka masyarakat juga terkena badai kepincangannya, begitu juga sebaliknya.

Malangnya keruntuhan moral dan gejala sosial seperti ‘mat rempit’, pembuangan bayi, penagihan dadah dan lain-lain terutama membabitkan Melayu begitu ketara sejak kebelakangan ini. 

Gejala buang bayi antara bukti paling nyata, masyarakat sedang dilanda masalah keruntuhan moral serius. Merujuk kepada Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga 2007 dengan Selangor dan Johor mencatat kes tertinggi. 



Statistik ini membimbangkan dan siren kepada pelbagai pihak jangan lalai dengan isu berkenaan. Keruntuhan institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagiaan dan keharmonian dalam masyarakat, sedangkan akhlak yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. 

Menyedari institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan jati diri individu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan ‘Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011’. 

Antara konvensyen itu menyentuh mengenai betapa pentingnya sesebuah keluarga Melayu memiliki dan memahami hala tuju keluarga yang sebenar serta bagaimana keluarga yang utuh dapat menyumbang kepada kekuatan kepada negara. 




Justeru, berkongsi ilmu mengenai isu berkenaan, Pensyarah Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Sidek Baba, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Ketua Wanita ISMA dan Pensyarah Jabatan Usuluddin Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Norsaleha Mohd Salleh, ada jawapannya. 


Topik menarik dibincangkan antaranya ‘Bapa sebagai Tonggak Berganda’; ‘Pendidikan Anak-anak, Cabaran dan Penyelesaian’ dan ‘Realiti Keluarga Melayu Muslim di Malaysia : Cabaran dan Masa Depan’. 

Konvensyen sehari bermula jam 8 pagi itu akan diadakan pada 23 Oktober, di Dewan Auditorium D8, Parcel D, Precint 1, Putrajaya. Maklumat lanjut hubungi Mastura Mohd (012-350 3123); Nurulhuda Abdul Karim (019-7103026) dan Mohd Hatta Mohd Dah (012-5984745). 

No comments:

Post a Comment