Wednesday, October 12, 2011

Shiqin tolak tawaran berlakon tunggu habis belajar (4 GAMBAR)


GIGIH...selain menumpukan perhatian pada pelajaran, Shikin turut meletak fokus pada kerjaya.



MESKIPUN bersandar pada filem Lagenda Budak Setan yang berjaya meraih beberapa pengiktirafan di majlis anugerah, namun ia bukan satu lesen bagi melonjakkan nama si pemilik wajah jelita, Nur Ashiqin Mohd Kamal.

Memegang watak Ayu dan bergandingan dengan Lisa Surihani, Farid Kamil serta Fazura Sharifuddin, pesona yang ada padanya bagai hanyut ditenggelami nama-nama besar yang lain.


Walau tampil dengan lakonan kemas dan ekspresi berbeza, nama Shikin Kamal masih janggal disebut dan wajahnya masih jauh tertinggal.


Bagaimanapun, jelasnya berkali-kali ketika bertemu minggu lalu, biar perlahan perjalanan ke puncak namun jika tiba nanti, ia kekal selama-lamanya.

“Tidak timbul rasa kecewa atau terkilan kerana masih tidak dikenali kerana ikhlas saya memandang peluang muncul melakonkan watak penting dalam filem Lagenda Budak Setan adalah satu laluan terbaik bagi memperkenalkan bakat dan wajah.

“Saya tidak terfikir untuk popular sebaliknya apa yang menjadi keutamaan adalah perhatian dari mata penonton bagi menyuntik terus semangat saya dalam gelanggang ini. 

“Apa pun saya tetap berasakan saya bertuah kerana langkah pertama bersama nama besar dan naskhah yang hebat seperti itu,” katanya yang bijak menyusun kata.

Tanpa publisiti meluas dan tidak pernah dipalit kontroversi, percaturan seni anak bongsu dari tujuh beradik ini dilihat berjalan dengan baik. Tawaran lakonan juga banyak diterima hingga ada yang terpaksa ditolak. Semua itu kerana komitmennya dengan pelajaran. 

“Memang saya sedih dan kecewa kerana terpaksa menolak beberapa tawaran kerana saya masih terikat dengan pelajaran yang berbaki dua tahun lagi di Universiti Teknologi Mara (UiTM). 

“Saya tidak boleh abaikan pelajaran kerana itu adalah impian keluarga untuk melihat saya berjaya dan tidak hanya meletak fokus pada lapangan lakonan.

“Selain meletak fokus dan komitmen kepada pelajaran, itu juga adalah janji saya kepada keluarga yang akan tetap menghabiskan pelajaran walaupun ingin serius dalam lapangan lakonan. 



“Saya akan hanya mengambil sebarang tawaran di hujung minggu ataupun ketika cuti semester mengikut kesesuaian watak dan plot cerita. 
“Justeru, bayangkan apabila saya menerima beberapa tawaran ketika sedang sibuk dalam pengajian dan terpaksa menolak semuanya tanpa berfikir dua kali. 

“Namun saya percaya rezeki itu adalah ketentuan yang ditulis. Jika benar laluan dan niat kita, ia akan datang kembali dengan nilai yang berganda asalkan sentiasa ikhlas dan jujur. 

“Tapi kelakarnya, walaupun sibuk dan terikat dengan jadual pengajian, saya masih sempat menyiapkan beberapa projek filem termasuk Di Larang Masuk, Uncle Usin, Tanda Putera, Left Wings dan terbaru akan muncul awal tahun depan, Mantera. 

“Insya-Allah sejurus tamat pengajian nanti, saya akan serius dengan lakonan bagi mengukuhkan lagi nama dan empayar sebelum benar-benar melakukan kerja aktuari yang saya pelajari,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Shikin bersemangat bercerita mengenai projek terbarunya, Mantera. 

Baginya, ia percubaan terbarunya dan boleh dikatakan penentuan dalam kerjaya.
Dalam Mantera terbitan FlareStudio yang turut dijayakan Tomok dengan kos pembikinan melangkaui RM7 juta, Shikin diangkat menerajui watak utama sebagai Deena. 

Jelas Shikin yang menyifatkan Mantera sebagai sebuah naskhah hebat yang menjadi kayu ukur dalam kerjaya lakonannya sendiri.

“Saya bersyukur kerana dipilih melakonkan watak utama dalam filem Mantera kerana ia bukan sebarangan karya sebaliknya punya kekuatan dan kelainan yang cukup hebat bagi gelanggang seni perfileman tempatan. 

“Ia tidak sekadar mengangkat konsep robotik dan aksi antarabangsa sebagai tarikan utama, malah Mantera cukup kuat pada plot ceritanya serta pembangunan setiap watak.



“Watak Dina yang saya lakonkan kononnya seorang pelajar jurusan robotik yang akan membantu kekasihnya, Azman apabila tersepit dalam kemelut luar biasa hingga membuatkannya berubah menjadi robot. 


“Cabaran dan kekuatan filem ini memang berbeza berbanding kebanyakan filem sebelum ini kerana keseluruhan jalan ceritanya punya jiwa antarabangsa dan hebat.

“Saya yakin filem ini akan memberikan sesuatu yang berbeza kepada kaki wayang tempatan dan mereka yang gemarkan karya Hollywood seperti Transformers dan Iron Man. 

“Percayalah, Mantera dapat memberikan kepuasan dan keseronokan yang sama kerana sebagai pelakon sendiri, proses pembikinan dan profesionalisme produksi dalam membentuk perjalanan filem ini begitu teliti dan bersungguh.

“Mantera memang sebuah filem yang akan membawa saya ke tahap yang lebih baik selain menjadi penentu kepada kerjaya lakonan saya untuk beralih ke fasa yang tinggi bagi mengejar apa yang pernah saya impikan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment