Monday, October 10, 2011

“Sekarang Saya Rasa Seperti Sudah Mati.” – Julia Ziegler


Pasti ramai yang sudah tahu mengenai gosip yang melanda pelakon berkulit putih gebu ini. Baru-baru ini, sebuah laman hiburan online tempatan telah melaporkan tentang Julia Ziegler ‘menyerang’ Sharifah Shahira kerana cemburu.
Khabar angin yang melanda mengatakan Julia Ziegler cemburu terhadap adik Sharifah Shahira, Sharifah Nurul Sakinah yang dikatakan sedang bercinta dengan Gambit Saifullah. Namun begitu, hal ini masih tidak dapat dipastikan kesahihannya lagi.
OHBULAN! sebentar tadi telah menghubungi Julia Ziegler bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh mengenai isu ini. Tanpa membuang masa, kami terus bertanya jika benar Julia Ziegler ada “menyerang” Sharifah Shahira?
“Saya tak serang dia, saya cuma mahu mendapatkan kepastian. Bayangkan awak ada kawan baik, tapi tiba-tiba kawan baik awak mereka-reka cerita yang buruk di belakang awak, sakit tak hati awak? Samalah pada saya, sebab itu saya pergi berjumpa terus dan dengar dari Sharifah Shahira sendiri.” jelas Julia memulakan perbualan.

Dia yang sudah jemu dengan tuduhan yang dibuat oleh beberapa artis lain turut menyuarakan perasaan kecewa dan sedihnya pada OHBULAN!
“Saya dah jemu dan letih dengan keadaan sekarang ni. Mereka memburuk-burukkan saya pada orang lain, bukankah itu fitnah? Dan fitnah lebih teruk dari membunuh, sekarang pun saya rasa seperti sudah mati.” ujar Julia.
Tambahnya lagi, “Saya dah tak tahan dengan mereka, mereka kata saya gila sebab kemalangan yang berlaku beberapa tahun lepas. Saya bukannya jenis memburukkan dan menyerang orang untuk kebaikan sendiri.”
Ditanya apakah tindakan yang akan diambil selepas ini, Julia menjelaskan bahawa dia tidak mahu melakukan apa-apa lagi.
“Sebenarnya saya jenis yang malas dan tak suka nak bertengking dengan siapa-siapa. Lepas ni biarlah orang nak cakap apa, saya berserah pada tuhan saja.” jelas Julia mengakhiri perbualan bersama OHBULAN!
Untuk mendapatkan pengesahan, wartawan dari OHBULAN! terus menghubungi Gambit Saifullah mengenai isu ini. Namun begitu, atas faktor lain OHBULAN! sempat menemubual aktor Karipap-Karipap Cinta ini sebentar sahaja.
Ditanya apakah yang sedang berlaku dan mengapa perkara ini boleh terjadi, Gambit menjelaskan.
“Saya tak rasa Julia serang Sharifah Shahira walaupun saya tiada disitu. Tapi biasalah, kadang-kadang bila kita meninggi suara, orang akan rasa tidak selesa.” ujar Gambit.
“Saya ada berkata pada Julia, fikirkan balik samada apa yang dia buat betul atau salah. Saya menasihati dia tidak lebih dari sekadar kawan dan dia sedar kesalahan dia. Saya juga tiada apa-apa hubungan dengan Sakinah seperti yang dihebohkan.” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment