PELAKON The Secret Life of Nora bergambar kenangan bersama Muhyiddin Yassin dan Norainee Abdul Rahman di Istana Budaya, Kuala Lumpur, minggu lalu. |
Sejak membuka tirainya pada 29 September lalu, Nora telah mendapat sambutan yang diluar dugaan dan sebagai penerbit, Datin Seri Tiara Jacquelina benar-benar terharu dengan respons positif daripada penonton.
Walaupun cukup sedar akan maklum balas yang pelbagai diterimanya untuk Nora, bagi Tiara, dia melihatnya daripada sudut positif.Memang dari awal lagi kata Tiara, dia mahu menampilkan kelainan untuk pementasan kali ini dan sebagai penerbit, dia cukup berpuas hati dengan perjalanan Nora setakat ini.
“Kami benar-benar mengambil berat apa yang penonton mahukan. Buktinya, untuk minggu pertama Nora dipentaskan, kami masih lagi melakukan eksperimen untuk apakah sebenarnya yang penonton mahukan terutama dari segi skrip dan dialog.
“Ada ketikanya, kami merasakan dialog yang dilontarkan itu melucukan tetapi penonton pula tidak memberikan respons. Begitu juga sebaliknya apabila senario dan skrip itu tidak mempunyai humor yang menarik tetapi penonton menyukainya.
Apa yang membanggakan Tiara apabila malam pementasan tersebut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman telah hadir dan sudi meluangkan masa menonton Nora.
Apabila memperkatakan tentang Enfiniti Vision Media (EVM) yang memang sudah terbukti kehebatan mereka menerbitkan dua teater muzikal mega sebelum ini, memang tiada apa yang mustahil boleh mereka lakukan untuk Nora.
Liga
Meneruskan kecemerlangan Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) dan P. Ramlee the Musical (PRM), Nora berjaya dalam liga tersendiri.
Sepanjang hampir dua jam menonton Nora, tidak terbit perasaan bosan dan itu membuktikan pementasan arahan Steven Dexter itu berjaya menghiburkan audiensnya.
Dari segi lakonan pula, setiap pelakon utama telah memberikan persembahan yang menghiburkan dan tidak seorang pun cuba membayangi antara satu sama lain.
Sekalung tahniah juga harus diberikan kepada Tiara kerana berjaya menampilkan sisi lain dalam kariernya sebagai seorang aktres. Dia mampu menghidupkan watak Nora dengan unsur lucu dan komedi tersendiri.
“Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, watak Nora bukan sesuatu yang mudah saya bawakan. Ia benar-benar mencabar mental dan fizikal saya sebagai seorang pelakon.
“Kalau sewaktu pementasan PGLtM, adalah juga waktu senggang untuk saya menarik nafas dan berehat seketika sementara menunggu babak pelakon lain.
“Tetapi, untuk Nora, semua itu tidak ada untuk saya. Atas alasan itu, saya perlu bijak menentukan masa saya sewaktu menukar pakaian, tata rias dan mencuri nafas sebelum adegan seterusnya,” ulas Tiara mengenai cabaran watak wanita primadona bernama Nora yang bertukar menjadi seorang perisik.
Aura
Sesuatu yang menarik untuk memperkatakan tentang Nora adalah keserasian antara Adibah Noor dan Tony Eusoff yang memegang watak Khatijah dan Farouk.
Mungkin ada yang bimbang watak antagonis bernama Mr. J yang dibawakan oleh Aznil akan kelihatan sama seperti Profesor Klon dalam dua filem Cicak-Man sebelum ini.
Tetapi, selepas menonton Nora, Aznil mampu lari daripada imej Profesor Klon dan Mr. J di tangan pengacara ulung negara itu telah dibentuk dengan penuh jayanya.
Apatah lagi dengan gaya percakapan pelat Mr. J, ia sungguh mencuit hati dan menjadikan Mr. J sebagai penjahat yang bukan dibenci sebaliknya disayangi.
Selain itu, dua pelakon muda, Aaron Khaled dan Stephanie Van Driesen juga telah membuka mata audiens dengan lakonan mereka sekali gus membuktikan bahawa sebenarnya industri seni negara tidak pernah ketandusan bakat baru.
Begitu juga dengan kemunculan istimewa pengarah kreatif, Mamat Khalid sebagai ketua agen perisik M15 yang telah meninggalkan impak walaupun seketika.
Menyentuh tentang aspek teknikal pula, pelaburan besar EVM yang menggunakan tenaga kreatif dari West End, London sememangnya berbaloi.
Rekaan set oleh Francis O’Connor cukup ringkas namun unik. Begitu juga dengan permainan teknik cahaya rekaan Nick Richings yang berkesan serta membangkitkan mood pada setiap adegan sepanjang pementasan Nora.
Harapan
Barangkali ada yang meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat Nora menjadi sebuah pementasan yang menepati genre spy secara total.
Dalam erti kata lain, jalan cerita dan watak Nora itu pada hemat mereka seharusnya lebih kuat dan mendalam lagi agar kualiti persembahannya setanding dengan PGLtM dan PRM.
Untuk itu, mereka mahu melihat lebih banyak gajet yang ditampilkan dan babak-babak dramatik dalam pementasan itu. Namun, semuanya tidak seperti yang diharapkan lalu menimbulkan sedikit perasaan kecewa.
Menjawab persoalan itu, Tiara tahu pasti akan ada yang cuba membuat perbandingan dengan dua pementasan sebelum ini sementelah PGLtM dan PRM telah menjadi tanda aras sebagai teater muzikal paling berjaya dalam sejarah.
“Peminat tegar PGLtM terutamanya banyak melahirkan rasa tidak puas hati mereka selepas menonton Nora kerana harapan tinggi yang diletakkan.
“Tetapi sebagai penerbit, saya mahu memberikan kelainan dan selepas dua teater yang berat, saya fikir EVM harus melakukan sesuatu yang berbeza.
“Saya berterima kasih dan bersyukur kerana sambutan yang diberikan kali ini juga di luar dugaan kerana ada yang menonton sehingga tiga kali dalam seminggu. Ia benar-benar membuatkan saya gembira,” kata Tiara.
Filem
Dalam kegembiraannya itu, hati Tiara sedikit terusik apabila mengenangkan teater muzikal terbarunya ini dipandang sepi oleh syarikat korporat dan swasta.
Hanya syarikat telekomunikasi gergasi negara, Maxis yang menjadi rakan penaja dan berganding bahu bersama-samanya untuk menjadikan Nora satu sukses.
Sekadar bertanya kepadanya apakah kerana kekuatan dan pengaruh EVM itu sendiri mungkin membuatkan ramai yang percaya Tiara dan syarikatnya mampu bergerak sendiri tanpa sebarang penajaan.
Sambil menghela nafasnya, Tiara menjelaskan dia juga harus memikirkan tentang soal untung dan rugi selain perlu membayar gaji pekerja syarikatnya.
Malah, dia sendiri ragu-ragu untuk menerbitkan kembali Nora bagi musim kedua di masa hadapan seandainya perkara ini berterusan.
“Saya bimbang industri seni persembahan negara akan berkubur begitu sahaja. Ketika ini, Nora banyak bergantung kepada penjualan tiket tetapi ia tidak membantu secara total.
“Kalau dihitung, untuk membayar balik kos penerbitan Nora, kami memerlukan tujuh bulan untuk terus mementaskan ia dan di Malaysia, kita tidak mempunyai lokasi yang dapat menampung sebuah persembahan begitu lama.
“Dalam hal ini, saya cukup kagum dengan negara Korea sewaktu industri seni persembahan mereka baru hendak meningkat. Ketika itu, semua syarikat gergasi seperti Samsung, LG dan Hyundai banyak membantu memberikan
sumbangan,” jelasnya dalam nada yang sedikit tegas.
Selepas menonton Nora, tidak dinafikan penulis seperti tidak puas dan mahu melihat ia dilangsungkan pula ke medium filem.
Sementelah EVM sendiri sudah lama tidak menerbitkan filem baharu selepas Puteri Gunung Ledang pada tahun 2004.
Mengusik Tiara dengan persoalan itu, sambil tersenyum dia memberitahu: “Saya lebih selesa untuk mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja. Kita tidak tahu apa yang akan menanti di masa hadapan.”
Bagi mereka yang belum berkesempatan menonton The Secret Life of Nora, pastikan anda berbuat demikian kerana ia akan melabuhkan tirainya pada 16 Oktober ini dan sebuah persembahan istimewa pula pada 20 Oktober.
Sebarang pembelian dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi www.airasiaredtix.com atau berkunjung ke kaunter Box-Office, Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment