Tuesday, October 18, 2011

Jaclyn Victor Bakal Meriahkan Festival Seni KLCC Di DFP (3 GAMBAR)


Masih segar daripada kejayaan KLCC Seni Festival yang pertama pada tahun lepas, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) akan meneruskan kelangsungan pesta keraian ini dengan mempersembahkan muzik ekstravaganza perayaan seni dan budaya selama satu minggu menerusi KLCC Seni Festival 2011 bulan ini.


Idea di sebalik festival ini diinspirasikan dari kewujudan bangunan KLCC yang sendirinya merupakan sebuah pusat seni; DFP sebagai pentas persembahan untuk muzik dan artis tersohor pelbagai genre manakala Galeri PETRONAS pula menghimpunkan 1400 lukisan hasil karya pelukis-pelukis ternama dan Petrosains ialah pusat sains dan teknologi yang kreatif dan ekspresif – satu sinergi seni yang semulajadi, kesemuanya di bawah bumbung KLCC. Maka itu, festival ini bakal mempromosi dan meraikan seni Malaysia di menara berkembar yang ikonik.

Ensembel Seni MPO & ASWARA Dance Company, Rabu, 26 Oktober


Rakyat Malaysia akan sekali lagi menyaksikan sejarah melalui keraian cabang seni yang pelbagai; tarian, muzik dan persembahan seni yang lain. Dengan tema ‘Malaysia’ yang sarat, festival ini akan dimulakan dengan gabungan Ensembel Seni MPO dan ASWARA Dance Company pada hari Rabu, 26 Oktober 11 pada pukul 8.30 malam. Bertemakan ‘Living Traditions’, mereka  bakal mempersembahkan enam karya yang menggabungkan muzik dan tarian. Pentas DFP bakal menyaksikan persembahan hebat Wirama, Tapak 4 dan Allarippu oleh koreografer-koreografer tempatan yang terkenal seperti Joseph Gonzales, Shafirul Azmi dan Umesh Shetty. Persembahan ini bakal disusuli dengan tiga lagu persembahan ensembel MPO; Lex, Trio Tradisi and Vespertine Formations yang disulami dengan tarian-tarian segar. Nikmatilah sinergi hebat ini melalui kolaborasi terbaik dari dunia tarian dan muzik!

Orkestra Tradisional Malaysia, Jumaat, 28 Oktober

Festival ini seterusnya meraikan ‘Malaysian Diversity’ pada hari Jumaat, 28 Oktober 11 pada pukul 8.30 malam. Persembahan ini bakal menampilkan Orkestra Tradisional Malaysia di bawah pimpinan Mohd Yazid Zakaria. Ensembel ini akan mempersembahkan kekayaan seni budaya kita melalui muzik dan lagu, menampilkan penyanyi undangan Jaclyn Victor, Iqwal Hafiz dan kumpulan Orang Asli, Bahbola. Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Gemilang, Joget Kenangan Manis, Somewhere, Corazon Espinado, medley P Ramlee, Pak Ngah Balik, Santubong, Sayang Kinabalu, Dondang Sayang, Empat Dara dan Zapin Budi. Persembahan ini bakal menyaksikan elemen perpaduan rakyat yang menjunjung tinggi konsep 1Malaysia. Konsert ini dipersembahkan oleh DFP dengan kerjasama Istana Budaya (di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan).

Seni Groove Ensemble, Sabtu, 29 Oktober

Pada hari Sabtu, 29 Oktober 11 pukul 8.30 malam, bakal dipersembahkan ‘MPO’s Native Foray’ di mana Seni Groove Ensemble, di bawah pimpinan pemain trombon MPO Marques Young, akan menyampaikan muzik diinspirasi dari lagu-lagu P Ramlee, Sheila Majid, Siti Nurhaliza, James Brown dan Ibrahim Ferrer, dengan menyerlahkan pengaruh tempatan dan luar. Raikan muzikal ini, dari kaca mata seorang Barat yang hidup di Malaysia.



Pesona Jauhar, Badan Kesenian Warisan Johor, Ahad, 30 Oktober

Festival ini bakal diakhiri dengan persembahan bertemakan ‘Johor Heads North’ oleh Badan Kesenian Warisan Johor pada hari Ahad, 30 Oktober 11 pukul 8.30 malam. Tarian berentak zapin dan muzik ghazal bakal bergema di pentas DFP. Seni budaya ini telah memikat masyarakat luar dan mendapat perhatian meluas. Nikmatilah keasyikan muzikal Pesona Jauhar yang terbahagi kepada empat segmen; Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar.

Nota: Bersempena dengan festival ini, Galeri PETRONAS akan mengadakan bengkel dan pameran di Tingkat 3, Suria KLCC. Masuk adalah PERCUMA. Keterangan lanjut boleh didapati di talian 03-23317770.


Nota II: Petrosains mengadakan pameran Music, Art, Science di Tingkat 4, Suria KLCC. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi 03-23318181

Nota III: Bergembiralah dengan aktiviti dan persembahan di KLCC Esplanade oleh antaranya   Petrosains, No Noise Percussion, Royal Rhapsody SERATAS, Seri Puteri Winds, Stage Circle, Amir Jahari, Tony Leo, Dikir Barat, Saturday Afternoon, ASWARA Dance Company, Floor Fever dan ASWARA Percussion Ensemble.

Bersama-samalah meraikan kemeriahan festival seni ini, hanya di DFP!

No comments:

Post a Comment