Thursday, October 20, 2011

Indonesia benarkan pembantu rumah ke Malaysia mulai 1 Disember



MATARAM, Indonesia 20 Okt. — Pembantu rumah Indonesia dibenarkan dihantar semula ke Malaysia mulai 1 Dis ini, sekaligus menamatkan moratorium lebih dua tahun untuk penghantaran tenaga kerja sektor informal ke Malaysia.

Keputusan mengenai perkara itu dimumumkan pada sidang akhbar bersama oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di akhir mesyuarat delegasi dua hala pada acara perundingan tahunan Malaysia-Indonesia di sini Khamis.


"Kita ketahui banyak saudara Indonesia yang bekerja di Malaysia. Oleh kerana itu, kita sepakat untuk memberi perlindungan dan bantuan sebaiknya kepada tenaga kerja Indonesia.

"Kita juga telah bersepakat bahawa dengan diadakan perubahan tentang pengambilan dan penempatan tenaga kerja Indonesia yang ditandatangani pada 2006, mendatangkan perubahan positif kepada Indonesia. InsyaAllah, pada 1 Disember kita akan menormalisasikan hal ini,” kata Yudhoyono ketika mengumumkan hasil pertemuan itu.

Berikutan itu, kedua-dua negara telah berunding sehingga satu kata sepakat dicapai dengan penandatanganan protokol meminda beberapa peruntukan dalam memorandum persefahaman 2006 itu, yang diadakan di Bandung pada 30 Mei lalu.

Bagaimanapun, penerapan makanisme yang sesuai bagi pelaksanaan protokol itu berhubung perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan mereka oleh Pasukan Petugas Khas Bersama, telah menyebabkan penarikan balik moratorium itu tertangguh sehingga sekarang. — Bernama

No comments:

Post a Comment