Penyanyi muda ini pernah memenangi beberapa anugerah seperti Vokal Terbaik Bagi Artis Baru Wanita di Anugerah Planet Muzik 2011, Bakat Muda Terbaik di World Association of Festivals & Artists 2011 dan Lagu Terbaik pada 20th International Muzic Festival Discovery 2011 di Bulgaria. Namun, entah di mana silapnya, pemilik nama Amanda Imani ini tidak begitu menonjol dalam industri seni tempatan.
Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini nama Amanda Imani mula menjadi bualan di bibir penggemar industri seni apabila penyanyi berusia 19 tahun ini tampil dengan pakaian seksi di majlis resepsi Memey dan Norman. Ekoran kisah tersebut, penyanyi ini menerima banyak hentaman dan kritikan.
Tapi mungkin sebab Amanda mempunyai bentuk tubuh yang menggiurkan, jadi apa saja pakaian yang digayakannya, pasti akan menampakkan beliau seksi. Ikuti temubual antara kakileaks dan pelantun lagu ‘Selamilah Cinta’ ini mengenai isu seksinya itu.
“Saya tak rasa baju saya terlampau seksi. Kenapa perkara ini nak jadi isu besar sedangkan ada ramai lagi artis yang pakai lagi terdedah pada malam itu. Bukan maksud saya tak serik dengan kritikan hari itu, cuma saya masih diri saya sendiri. Ini cara pemakaian saya dan ini adalah diri saya. Saya tak hipokrit dan nak jadi diri saya sendiri.
“Lagipun saya bukannya selalu pakai yang terdedah. Bila saya pakai baju tertutup pun orang masih cakap saya seksi. Peminat saya faham dan tahu saya macam mana. Dari dulu memang saya selesa dengan apa yang saya pakai,” ujarnya sambil menafikan ingin mencipta kontroversi.
“Saya bukannya nak dapatkan kontroversi dari situ. Sudah tentu saya mahu dikenali dengan lagu nyanyian saya dan bukan sebagai artis seksi. Apa yang boleh saya katakana, saya hanya mengikut tema pada malam itu. Tak sangka benda ini akan terjadi. Apa saja gaya dan personaliti saya, saya ikut dengan cara sendiri.”
Kakileaks sempat bertanyakan kepada ibu Amanda, Puan Nina mengenai isu tersebut, dan ini merupakan komen beliau, “Saya tengok semua orang yang pergi ke majlis tersebut pakai lebih kurang macam itu (seksi). Saya tak tahu pula benda ini nak jadi isu, ingatkan tak ada apa-apa masalah. Lepas ini saya akan nasihatkan dia agar lebih bersederhana dan lebih berhati-hati. Paling penting dia kena jaga hati keluarga dia dan belajar dari kesilapan.”
No comments:
Post a Comment